Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hishammudin: Kemungkinan ISIS jadikan Asia Tenggara pangkalan baru salah satu cabaran utama

Kemungkinan para militan ISIS mengubah Asia Tenggara menjadi pangkalan operasinya yang baru merupakan satu daripada lima cabaran utama keselamatan yang dihadapi rantau ini buat masa sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:
Hishammudin: Kemungkinan ISIS jadikan Asia Tenggara pangkalan baru salah satu cabaran utama

Menteri Pertahanan Malaysia, Hishammudin Hussein semasa menyampaikan ucap tama, di Forum Fullerton di Singapura. (Gambar: Hishammudin Hussein/ Facebook)

Diterbitkan : 23 Jan 2017 09:31PM Dikemas Kini : 24 Jan 2017 07:59PM

SINGAPURA: Kemungkinan para militan ISIS mengubah Asia Tenggara menjadi pangkalan operasinya yang baru merupakan satu daripada lima cabaran utama keselamatan yang dihadapi rantau ini buat masa sekarang.

Menteri Pertahanan Malaysia, Hishammudin Hussein menekankan demikian semasa menyampaikan ucap tama, di Forum Fullerton di Singapura hari ini (23 Jan).

Acara ini dianjurkan Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik.

Datuk Hishammuddin juga memberi amaran rantau ini mempunyai banyak jalur pergeseran yang boleh diperalatkan ISIS yang juga dikenali sebagai Daesh.

Beliau berkata: "Keprihatinan utama kita adalah Daesh berusaha merubah Asia Tenggara - tempat aman damai kita - kepada pangkalan baru operasinya sedang ia terus mengalami kekalahan di Timur Tengah. Sudah pasti terdapat banyak jalur pergeseran yang boleh diperalatkan di rantau kita, termasuk ketidakstabilan yang dialami sekarang di wilayah selatan Thailand dan Filipina, serta wilayah Rakhine di Myanmar."

Beliau menambah negara-negara di rantau ini harus bekerjasama rapat untuk membangun strategi-strategi jelas dalam berdepan dan menangani ancaman.

Menurut beliau, inisiatif-inisiatif keselamatan serantau boleh menjadi cara berkesan, dengan menukil perjanjian tiga pihak Laut Sulu, antara Malaysia, Indonesia dan Filipina sebagai contoh.

Di bawah perjanjian tersebut, angkatan tentera ketiga-tiga negara menjalankan pengawalan udara dan laut bersepadu bagi memerangi jenayah maritim serta pengganasan di Laut Sulu.

Beliau berkata satu lagi cabaran utama keselamatan yang dihadapi rantau ini adalah kebangkitan dasar populisme serta konsep pensejagatan yang kian berkurangan.

Menurutnya rantau ini berharap Presiden Donald Trump akan pertimbangkan semula cadangannya bagi mengurangkan komitmen Amerika di luar negeri memandangkan betapa pentingnya rantau Asia Pasifik kepada keselamatan dan ekonomi Amerika.

Mungkin juga bertepatan bagi ASEAN katanya menyahut cabaran mengisi kekosongan disebabkan perubahan sesetengah dasar yang melibatkan kuasa-kuasa besar dunia.

Forum ini akan berlangsung sehingga esok. 

Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan