Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hasrat tunai haji tidak kesampaian; jemaah meninggal dunia di Madinah

Seorang jemaah haji rakyat Malaysia merancang untuk menunaikan ibadah itu bersama-sama isterinya apabila tiba di Makkah.

Anggaran Waktu Membaca:
Hasrat tunai haji tidak kesampaian; jemaah meninggal dunia di Madinah

Madinah di Arab Saudi. (Gambar fail: AFP/ROSLAN RAHMAN)

Diterbitkan : 11 Aug 2017 07:31PM Dikemas Kini : 11 Aug 2017 07:34PM

MAKKAH: Seorang jemaah haji rakyat Malaysia merancang untuk menunaikan ibadah itu bersama-sama isterinya apabila tiba di Makkah.

Namun, hasratnya itu tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia semasa berada di Madinah.

Allahyarham Mohd Ghazali Abd Rahim meninggal dunia di Madinah pada Sabtu lalu (5 Ogos) akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarham mempunyai banyak perancangan bersama isterinya, Fatimah Zaharah Ghazalli, untuk melakukan ibadah di Tanah Suci itu.

Cik Fatimah berkata beliau dan suaminya sudah merancang untuk berbuat demikian ketika mereka sekeluarga bersama-sama tiga anak mereka, mengerjakan ibadah umrah pada Disember tahun lalu.

"Arwah sentiasa bersama-sama saya semasa kami sekeluarga membuat umrah Disember lalu. Apabila menerima tawaran mengerjakan haji, kami merancang membuat ibadah bersama di Tanah Suci dan beriktikaf di Masjidil Haram kerana di Madinah kami tidak boleh duduk sekali (beriktikaf) di masjid.

"Namun sudah ditakdirkan...mungkin ada hikmah dan Allah mahu saya meningkatkan lagi ibadah di sini supaya kami boleh bersama-sama di kemudian hari,” katanya ketika ditemui wartawan di maktab penginapannya di sana hari ini (11 Ogos).

Allahyarham yang berasal dari Taman Pengkalan Harapan, Ipoh, Perak itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.25 malam waktu Arab Saudi, selepas hampir seminggu berada di Madinah.

Allahyarham Mohd Ghazali, 53 tahun, bersama Cik Fatimah, yang juga berusia 53 tahun, berlepas ke Madinah pada 30 Julai, dengan menaiki penerbangan XY06B dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

GURAUAN MAHU MENINGGAL DUNIA DI TANAH SUCI JADI KENYATAAN

Cik Fatimah yang sebelum itu tenang ketika menjawab soalan wartawan, bagaimanapun tidak dapat menahan sebak apabila terkenangkan saat-saat sebelum suaminya menghembuskan nafas terakhir.

"Sebelum ini, kami pernah bergurau untuk meninggal dunia bersama di Tanah Suci. Kebetulan pada masa itu arwah mengalami cirit-birit. Saya cakap...saya minta maaf kerana kita bukan tahu apa yang akan berlaku...kami sama-sama bergurau.

“Saya tidak jangka perkara ini berlaku dalam masa tiga hari. Semasa arwah dibawa ke klinik, dia boleh bersembang tetapi apabila sampai di pusat perubatan itu, arwah tiba-tiba sesak nafas dan terus dibawa ke hospital (di Madinah).

"Apabila tiba di hospital, doktor memaklumkan suami saya sangat kritikal dan pada masa yang sama, saya diminta pulang ke maktab penginapan dan semasa itulah suami menghembuskan nafas. Itu yang saya sedih kerana tidak boleh berada di sisi arwah semasa dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Cik Fatimah berkata walaupun sedih di atas pemergian suaminya itu, beliau reda dengan ketentuan Allah SWT.

Malah, beliau berkata anak-anak sentiasa menghubunginya dan memberi semangat untuk beliau terus tabah dan cekal dalam melaksanakan ibadah di Tanah Suci ini.

BERKABUNG TIDAK BOLEH LAKUKAN UMRAH KALI KE-2

Sementara itu, Pembimbing Ibadah Haji 1438 Hijrah, Siti Fauziah Dollah Hamdani berkata wanita dalam idah tidak dibenarkan berhias, berpakaian menarik serta keluar membeli-belah.

"Fatimah banyak berada di maktab dan jika beliau hendak menunaikan solat berjemaah hanya di surau maktab penginapan. Jika dia hendak ke Masjidil Haram, petugas Tabung Haji akan menemankan beliau. Tetapi untuk melakukan umrah kali kedua, kita tidak benarkan.

"Untuk mengerjakan ibadah haji nanti, petugas Tabung Haji akan menemankan beliau sehingga selesai,” katanya.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan