Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hampir 300 warga Korea Utara serah diri ke Jabatan Imigresen M'sia

Sebanyak 296 warga Korea Utara di Sarawak sudah menyerah diri ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 300 warga Korea Utara serah diri ke Jabatan Imigresen M'sia

Logo Jabatan Imigresen Malaysia. (Gambar: Jabatan Imigresen Malaysia/Facebook)

Diterbitkan : 18 Apr 2017 10:46PM Dikemas Kini : 18 Apr 2017 10:53PM

PUTRAJAYA: Sebanyak 296 warga Korea Utara di Sarawak sudah menyerah diri ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kata Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali.

Mereka terdiri daripada warga negara itu yang sudah tamat tempoh pas yang sah dan tinggal lebih masa menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), katanya.

"Kesemua 296 orang warga Korea Utara ini sudah dan akan keluar dari Malaysia secara berperingkat dengan kerjasama majikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustafar berkata JIM memberikan tempoh seminggu sejak 11 April untuk semua warga Korea Utara yang sudah tamat tempoh pas yang sah dan masih berada di Sarawak supaya menyerah diri ke Jabatan Imigresen.

Sehingga hari ini, katanya, 113 daripada 117 orang warga Korea Utara dalam senarai Jabatan Imigresen Sarawak sudah menyerah diri.

"Bagi empat lagi warga Korea Utara yang masih belum menyerah diri, majikan sudah memberikan jaminan untuk menyerahkan mereka pada hari ini," katanya.

Selain itu, Mustafar berkata sebanyak 183 orang warga Korea Utara yang sudah tinggal lebih masa menggunakan PLS juga menyerah diri.

Beliau berkata kemasukan warga Korea Utara tersebut ke Sarawak pada masa itu tidak memerlukan Visa Masuk dan pihak syarikat juga tidak pernah hadir ke Pejabat JIM Sarawak untuk mengemukakan permohonan Pas Kerja.

"Majikan juga sudah mengesahkan tiada lagi warganegara Korea Utara yang sudah tinggal lebih masa menggunakan PLS," katanya.

Sumber : Bernama/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan