Images
  • guru meninggal
    Allahyarhamha Naizura Mohamed meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung. (Gambar: BERNAMA)

Guru meninggal dunia ketika membuat persembahan sempena Hari Guru

PASIR MAS: Keriangan sambutan Hari Guru bagi para pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1, Tendong, bertukar pilu apabila seorang pendidiknya meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Guru itu, Naizura Mohamed, 42 tahun, rebah di atas pentas ketika sedang membuat persembahan dikir barat bersama murid-muridnya dalam kejadian kira-kira pukul 12.00 tengah hari Selasa (16 Mei), sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tendong.

Insiden itu berlaku di hadapan kira-kira 700 hadirin termasuk murid, guru dan kakitangan sekolah.

Guru besar sekolah itu, Zulhadi Mahamad berkata Allahyarhamha Naizura sempat diberi bantuan kecemasan namun disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.

Allahyarhamha yang sudah 12 tahun mengajar di sekolah itu mempunyai rekod sakit jantung dan pernah mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, katanya ketika dihubungi.

Encik Zulhadi berkata sebelum acara bermula mangsa kelihatan letih dan rakan guru menasihatinya supaya berehat di bilik guru atau pulang ke rumah, namun Allahyarhamha bertegas mahu meneruskan persembahan penutup bersama sekumpulan pelajarnya.

Allahyarhamha yang berasal dari Kampung Alor Durian dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Perangkap di sini kira-kira pukul 6.00 petang tadi.

Sementara itu, suami Allahyarhamha, Kamarul Azhar Ahmad, 44, ketika dihubungi berkata sebelum ke sekolah pagi Selasa, isterinya amat ceria dan bersemangat untuk meraikan sambutan Hari Guru di sekolahnya.

"Arwah pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2009 dan selepas itu tidak pernah sakit. Tidak kami sangka arwah isteri pergi di saat semua warga pendidik bergembira menyambut Hari Guru, " kata Kamarul yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Gelang Mas.

Pasangan itu mempunyai empat anak berusia antara 12 dan 21 tahun. 

- BERNAMA/im

Komen Anda?

Top