Images
  • quake jb
    Pusat gempa yang melanda Sumatera, Indonesia. (Gambar: Google Maps)

Gegaran turut dirasai di Johor Bahru susulan gempa bumi Sumatera

JOHOR BAHRU: Gegaran kecil susulan gempa bumi di Sumatera turut dirasai di beberapa tempat di Johor Bahru pagi tadi (13 Ogos).

Menurut jurucakap bomba, sehingga kini tiga laporan gegaran diterima iaitu daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Jalan Padi Emas 1, Menara Kastam di Jalan Tun Razak dan Menara Tabung Haji di Jalan Ayer Molek.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau keretakan bangunan dilaporkan.

Sementara itu, kira-kira 400 kakitangan LHDN serta orang ramai yang membuat urusan di pejabat berkenaan terkejut apabila diarahkan keluar dari bangunan setinggi 12 tingkat itu pada kira-kira 11.10 pagi.

Ketua Penolong Pengarah LHDN negeri Norazam Sulaiman berkata ketika kejadian, beliau berada di tingkat 11.

"Saya merasa gegaran pada pukul 11.10 pagi dan terus menghubungi Jabatan Meteorologi untuk membuat laporan.

"Kemudian kami semua diarah turun oleh anggota keselamatan untuk berkumpul di tapak kecemasan," kata beliau kepada Bernama ketika ditemui.

Seorang pelanggan LHDN, R. Rames, 44 tahun, pula mendapat arahan keluar dari bangunan berkenaan pada kira-kira 11.30 pagi.

"Saya datang membuat urusan di kaunter LHDN, tiba-tiba dimaklumkan ada gegaran dan diminta keluar. Tapi saya tak rasa gegaran mungkin sebab berada di tingkat bawah ketika itu," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar berkata pihaknya yang menerima laporan kemudiannya memeriksa bangunan untuk memastikan tiada keretakan.

"Kebanyakan saksi yang merasai gegaran ketika itu berada di tingkat 11 dan 12. Setelah diperiksa, tiada keretakan dipastikan dan buat masa ini, bangunan ini selamat diduduki," kata beliau ketika dihubungi.

Bagaimanapun, pihaknya meminta pihak pengurusan LHDN untuk menghubungi Jabatan Kerja Raya untuk memeriksa lanjut struktur bangunan.

Kesemua kakitangan LHDN dibenarkan masuk ke bangunan itu secara beransur-ansur mulai 12.38 tengah hari tadi.

Pada kira-kira 11.08 pagi tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan menyatakan gempa bumi sekuat 6.4 Richter melanda Sumatera, Indonesia.

Bagaimanapun, gempa bumi yang berpusat di 78km barat daya Bengkulu, Indonesia dan 636km barat daya Pontian, Johor, tidak membawa ancaman tsunami.

- BERNAMA/RU/ru

Komen Anda?

Top