Images
  • angsana mall
    Gedung baru Angsana Johor Bahru Mall 2 akan dibina bersebelahan Angsana Mall sekarang (atas). (Gambar: Petikan skrin dari video Youtube)

Gedung beli belah baru akan dibina sebelah Angsana Mall di JB, siap 4 tahun lagi

JOHOR BAHRU: Rakyat Singapura, dan khususnya rakyat Johor, akan mempunyai sebuah lagi pusat beli belah untuk mereka langgani dan manfaatkan di Johor, empat tahun dari sekarang.

Ini apabila sebuah lagi gedung beli belah bakal dibina di tapak bersebelahan dengan Angsana Mall yang ada sekarang. Gedung baru itu dinamakan Angsana Johor Bahru Mall 2, akan lebih besar daripada gedung Angsana sekarang.

Ia akan dibangunkan oleh syarikat Uda Holdings Bhd dengan modal kasar sebanyak RM1.5 bilion (S$480 juta).

Pengarah Urusan Kumpulan Uda Holdings Datuk Ahmad Abu Bakar berkata projek itu kini berada di peringkat kelulusan reka bentuk dan pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2021.

“Dengan adanya Angsana Johor Bahru Mall 2, ia tentunya akan menarik kehadiran lebih ramai pelancongan terutamanya dari Singapura. Warga tempatan pula akan mempunyai dua pilihan kategori membeli-belah yang tentunya akan memberikan kepuasan kepada mereka,” kata Datuk Ahmad.

MALL SELUAS 4 HEKTAR, DISAMBUNGKAN DENGAN ANGSANA MALL SEKARANG

“Angsana Johor Bahru Mall 2 ini akan dibina di kawasan berhampiran Angsana Johor Bahru Mall sedia ada dengan keluasan pembinaan 11 ekar (lebih kurang 4 hektar). 

"Jadi kita juga akan membina jambatan yang menghubungkan kedua-dua bangunan ini selain beberapa landskap yang memberi kemudahan kepada pengunjung,” kata Datuk Ahmad lagi kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Uda Angsana Sdn Bhd dan Uda Land South hari ini (17 Jul).

Datuk Ahmad menekankan, gedung baharu itu akan lebih besar daripada pusat membeli belah sedia dengan keluasan kira-kira  800,000 kaki persegi dan akan menawarkan pelbagai jenis perniagaan serta jenama antarabangsa.

Selain itu katanya, Uda Holdings juga akan membangunkan Pusat Bandar Tampoi di atas baki tanah seluas 32.45 ekar (14 hektar) yang meliputi kompleks perniagaan, dewan konvensyen, hotel, kondominium mewah dan apartment kos sederhana berhampiran dengan Angsana Johor Bahru Mall 2.

Dalam pada itu, bagi memberi keselesaan kepada pengunjung, kerja-kerja menaik taraf Angsana Johor Bahru Mall sudah dilaksanakan bermula 2011 dengan kos sebanyak RM10 juta (S$3.2 juta). Ini termasuklah kemudahan eskalator, lif, lantai, lampu, penghawa dingin dan pelbagai kemudahan lain.

- BERNAMA/im

Komen Anda?

Top