Images
  • greyhound bus
    Bas syarikat Greyhound yang menghala ke Houston. (Gambar: Greyhound Lines/Facebook)

Gara-gara nama Mohammad, lelaki warga Iran dihalau keluar bas di Texas

TEXAS: Seorang calon PhD yang berasal dari Iran yang menetap di Arlington, Texas, mendakwa bahawa beliau dihalau keluar daripada sebuah bas kerana bernama Mohammad, menurut The Independent.

Dalam catatan Facebook minggu lalu, Mohammad Reza Sardari menceritakan bahawa insiden pada 13 November itu berlaku semasa beliau dalam perjalanan ke Kansas City, Missouri dengan menaiki bas yang dikendali syarikat Greyhound untuk membuat pembentangan di sebuah sidang.


Namun, pada pukul 3.00 pagi, beliau tersentak daripada tidur apabila pemandu bas mengarahnya untuk menunjukkan tiket basnya apabila bas berhenti di Wichita iaitu lebih 300 kilometer dari destinasi tujuannya.

Menurut calon PhD dalam jurusan perancangan bandar dan dasar awam di Universiti Texas itu, beliau menunjukkan tiket di telefon bijaknya.

"Apabila melihat nama saya di tiket iaitu 'Mohammad', pemandu wanita itu berkata: 'Tiket anda tidak boleh diterima dan oleh sebab anda tidak ada tiket yang tercetak, keluar dari bas ini,'" katanya dalam catatan Facebook itu.

The Independent melaporkan bahawa walaupun Reza kemudian terjumpa tiket tercetaknya, pemandu itu tetap menghalaunya keluar daripada bas.

"Saya tanyakan mengapa tetapi beliau menjawab 'Saya tidak mahu berbual dengan anda!'" kata Reza sambil menambah bahawa pemandu itu terus membuat panggilan polis.

Reza memberitahu agensi berita NBC Dallas-Fort Worth bahawa keadaan sekelilingnya pada waktu itu meruncing dan sangat mengerikan. Malah, seorang penumpang turut menghampiri dan memaki hamunnya.

Mujur, pegawai polis yang tiba sekitar 40 minit kemudian juga memaksa Reza keluar daripada bas itu. Beliau diberitahu bahawa khidmat bas selanjutnya hanya akan tiba pada 2.30 petang itu iaitu enam jam selepas sidang yang sepatutnya dihadirinya bermula.

Memandangkan keadaan lalu lintas masih sunyi pada awal pagi itu, Reza terpaksa membuat pesanan Lyft iaitu perkhidmatan pengangkutan privet yang mengenakan bayaran sebanyak AS$250 (S$330) untuk menyambung perjalanannya.

DISKRIMINASI TERHADAP MUSLIM DI AMERIKA SYARIKAT

Menurut laporan Newsweek pula, diskriminasi terhadap golongan Muslim di Amerika Syarikat semakin meningkat sejak dua tahun kebelakangan ini.

Laporan tersebut merujuk kepada statistik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang dikeluarkan bulan lalu untuk menarik perhatian bahawa jenayah kebencian terhadap golongan Muslim melonjak sebanyak 70 peratus antara 2014 dengan 2015 dan lagi 20 peratus antara 2015 dengan 2016.

Malah, satu laporan Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) awal tahun ini pula mendapati kenaikan sebanyak 57 peratus dalam insiden-insiden anti-Islam pada tahun 2016 berbanding tahun sebelumnya.

Oleh sebab trauma yang dilaluinya itu, Reza memilih untuk pulang ke Dallas dengan menaiki kapal terbang, bukan dengan tiket pulang bas Greyhound yang sudahpun dibelinya. 

Beliau mengalakkan orang ramai untuk berkongsi kisahnya itu supaya dapat mencegah sikap dan tindakan sedemikian pada masa depan.  

- Agensi berita/sm

Komen Anda?

Top