Images
  • Ahok
    Encik Basuki Tjahaja Purnama, yang lebih dikenali sebagai Ahok (Gambar: ADEK BERRY / POOL / AFP)

Gabenor Jakarta: 7.2 juta rakyat Indonesia sekali lagi mengundi hari ini

JAKARTA: Seramai 7,218,254 rakyat Indonesia yang layak mengundi sekali lagi akan membuat keputusan memilih Gabenor Jakarta bagi tempoh lima tahun pada pusingan kedua Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) hari ini (19 Apr).

Jumlah pengundi itu meningkat lebih 100,000 orang, iaitu pada Februari lalu, yang mencatat jumlah pengundi berdaftar seramai 7,108,589 orang.

Media-media online memetik Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Daerah Khusus Ibu Kota Jakarta, Dahliah Umar, sebagai berkata, peningkatan itu disebabkan suruhanjaya tersebut menggunakan data pendaftaran pengundi terkini.

Mereka akan mengundi di 13,034 buah pusat mengundi di seluruh daerah Jakarta yang dibuka mulai pukul 7.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari.

Pilkada bagi Jakarta terpaksa diadakan secara dua pusingan setelah tiada calon yang melepasi undi majoriti melebihi 50 peratus pada pusingan pertama.

Pilkada pusingan kedua ini menyaksikan gandingan penyandang jawatan Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dan Djarot Saiful Hidayat dicabar oleh mantan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Anies Baswedan dan pasangannya seorang ahli perniagaan, Sandiaga Salahuddin Uno.

Pada Pilkada 15 Februari lalu, Ahok dan Djarot mendahului pungutan undi dengan mendapat 44.17 peratus undi manakala gandingan Anies dan Sandiaga mendapat 39.55 peratus.

Pasangan Agus Harimurti Yudhoyono iaitu anak sulung mantan presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono terkeluar daripada pertandingan pusingan kedua apabila mendapat hanya 16.27 peratus undi.

Sistem pilihan raya itu mewajibkan seseorang calon melepasi 50 peratus daripada jumlah undi keseluruhan untuk dilantik sebagai Gabenor Jakarta merangkap ketua eksekutif daerah.

Pemerintah mengumumkan hari ini sebagai hari cuti khas di Jakarta dan pihak berkuasa juga membuat kawalan ketat di seluruh pintu masuk ke Jakarta.

Orang awam dari luar Jakarta dilarang memasuki ibu negara itu jika tidak mempunyai urusan rasmi bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

- BERNAMA/im

Komen Anda?

Top
>