Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Flu burung di Kelantan: China haramkan import sarang burung dari M'sia

China sudah mengenakan sekatan buat sementara waktu terhadap import sarang burung dari Malaysia, menyusuli penularan virus demam selesema burung di Kelantan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Mar 2017 04:19PM Dikemas Kini : 20 Mar 2017 11:53PM

KELANTAN: China sudah mengenakan sekatan buat sementara waktu terhadap import sarang burung dari Malaysia, menyusuli penularan virus demam selesema burung di Kelantan.

Virus flu burung H5N1 yang amat mudah dijangkiti itu pertama kali dikesan pada 6 Mac di negeri itu di kalangan beberapa ayam yang merayau-rayau di situ.

Kini sebanyak 18 kampung di ibu negeri Kota Bharu terjejas dan hampir 25,000 burung - kebanyakannya ayam, itik dan angsa - dihapuskan.

Menyusuli langkah China mengharamkan import sarang burung itu, Jabatan Khidmat Veterinar (DVS) Malaysia menghantar surat kepada pihak berkuasa China untuk menjelaskan situasi tersebut dan langkah-langkah yang sedang diambil untuk mengekang penularan penyakit tersebut, lapor akhbar New Straits Times (NST).

"Kami juga menjelaskan bahawa bilangan ayam dan itik yang ada di Kelantan hanya membentuk 0.5 peratus daripada jumlah penduduk di seluruh negara. Penghasilan telur-telur komersil dikendalikan sepenuhnya di luar Kelantan," menurut DVS seperti ditukil NST.

"(Dan akhir sekali), sumber-sumber sarang burung yang mentah, bersih dan boleh dimakan, datang dari luar Kelantan. Sumber-sumber bekalan sarang burung boleh dijejaki daripada sebuah sistem yang digunakan jabatan ini," menurutnya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberitahu para wartawan Sabtu lalu: "Melaluinya, kita dapat mengenal pasti dari manakah sarang burung walit itu berasal, rumah burung yang mana, kampung mana dan negeri mana. Jika didapati ada perkara yang tidak dibolehkan, tindakan akan terus dibuat di kawasan terlibat sahaja tanpa melibatkan kawasan perusahaan sarang burung walit di seluruh negara," katanya. 

Datuk Seri Shabery menambah bahawa kementeriannya akan menghantar wakil-wakil ke China untuk memperjelaskan situasi itu.

"Tidak sepatutnya ada kebimbangan sama ada negara China mahupun negara-negara lain untuk menghadkan pengeksportan unggas dan sarang burung dari Malaysia," katanya seperti ditukil Bernama.

Malaysia mengeksport sarang burung bernilai RM135 juta (S$42 juta) ke China setiap tahun, menurut Datuk Seri Shabery.

"Nilai eksport ini jumlah yang besar, sebab itu kita tidak mahu penternak dan pengusaha mengalami kerugian yang berterusan," ujarnya.

Beliau juga menegaskan kementerian sedia mengkaji bentuk pampasan yang lebih sesuai diberikan kepada penternak dan pengusaha terlibat, sekiranya penularan flu burung itu berulang lagi.

"Harga sarang burung walit dan unggas ini ada naik turunnya dan ia adalah sesuatu yang terpaksa dihadapi penternak kerana tak ada lagi satu skim yang mana jika harganya rendah, kerajaan kena bayar," tambahnya. 

Sumber : CNA/Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan