Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Filipina menyatakan bekas isteri warga S'pura radikal diberkas, merekrut anggota ISIS

Pasukan keselamatan Filipina hari ini (18 Okt) menyatakan pihaknya memberkas balu ketua militan yang merekrut pejuang ISIS dari seluruh dunia melalui media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Oct 2017 03:52PM Dikemas Kini : 18 Oct 2017 10:53PM

MANILA: Pasukan keselamatan Filipina hari ini (18 Okt) menyatakan pihaknya memberkas balu ketua militan yang merekrut pejuang ISIS dari seluruh dunia melalui media sosial.

Warga Filipina, Karen Aizha Hamidon juga didakwa menyebarkan propaganda pelampau berhubung dengan penawanan bandar Marawi oleh pejuang ISIS.

Sebelum ini, 14 tuduhan pemberontakan sudahpun difailkan kepada Jabatan Undang-Undang terhadap Karen, 36 tahun, yang hadir di sidang media oleh Setiausaha Kehakiman Vitaliano Aguirre II.

Dia diberkas pada 11 Oktober di bandar Taguig dan dikatakan berkahwin dengan Mohammad Jaafar Maguid, seorang warga Filipina, yang mengetuai kumpulan pengganas kecil Ansar al-Khilafah yang berkait rapat dengan ISIS.

Jaafar dibunuh oleh polis Januari tahun ini, dalam satu pertempuran di wilayah Sarangani.

"Dia mendapat perhatian antarabangsa pada pertengahan 2016 apabila berjaya merekrut beberapa warga India untuk ke Filipina dan menyertai kumpulan pelampau Islam di Mindanao," kata Encik Aguirre.

Pada hari dia diberkas, Karen dipercaya mengirim mesej di Telegram yang mengundang Muslim untuk menyertai kumpulan militan ISIS yang menawan bandar Marawi. Pemeriksaan forensik pada telefon bimbitnya menunjukkan 296 catatan yang serupa yang menggalakkan pemberontakan di Marawi, menurut Biro Siasatan Kebangsaan (NBI).

NBI, sebuah agensi di bawah Jabatan Kehakiman menyatakan Karen merupakan bekas isteri rakyat Singapura, Muhammad Shamin Mohammed Sidek, yang ditahan di Singapura pada Ogos 2015 kerana merancang untuk menyertai ISIS. Agensi itu turut menyatakan dia disiasat di negara-negara lain atas pembabitannya memberikan dana kepada pengganas antarabangsa.

Pada Mei 2015, Shamin didapati bersalah dan dihukum penjara tiga bulan kerana menggunakan media sosial untuk menggalakkan pengganasan.

Dia ditangkap sekali lagi pada Julai di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan disiasat bagi menilai jika dia menimbulkan ancaman terhadap keselamatan Singapura.

Shamin didapati terus meluahkan "sokongan kuat terhadap ISIS" sepanjang tempoh dipenjara, menurut Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataannya.

"Meskipun ditahan di bawah ISA, dia bertegas untuk meneruskan rancangannya menyertai ISIS selepas dibebaskan. Shamin juga berkata dia bersedia untuk mati demi mempertahankan 'khilafah' yang diisytiharkan ISIS," menurut kementerian itu.

Siasatan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mendedahkan Shamin pernah merancang untuk ke Syria dan menyertai ISIS selepas berjaya mengumpulkan dana untuk membiayai perjalanan tersebut. Jika tidak dapat menyertai ISIS, dia mempertimbangkan untuk berjuang bersama kumpulan-kumpulan militan di rantau ini yang ada hubungan ISIS, menurut MHA. 

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan