Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

FBI sifatkan insiden tikaman di lapangan terbang Michigan sebagai "pengganasan"

Biro Siasatan Persekutuan menyatakan pihaknya sedang menyiasat kes tikaman ke atas seorang pegawai polis di terminal utama sebuah lapangan terbang kecil di Flint, Michigan sebagai tindakan pengganasan.

Anggaran Waktu Membaca:
FBI sifatkan insiden tikaman di lapangan terbang Michigan sebagai "pengganasan"

Pegawai polis di bahagian belakang rumah Ftouhi. (Gambar: REUTERS/Christinne Muschi)

Diterbitkan : 22 Jun 2017 09:36AM Dikemas Kini : 22 Jun 2017 09:42AM

DETROIT/MONTREAL: Biro Siasatan Persekutuan menyatakan pihaknya sedang menyiasat kes tikaman ke atas seorang pegawai polis di terminal utama sebuah lapangan terbang kecil di Flint, Michigan sebagai tindakan pengganasan.

"Saya boleh memberitahu anda pihak kami sedang menyiasat insiden yang berlaku sekitar pukul 9.45 pagi hari ini sebagai tindakan pengganasan," ejen khas bertanggungjawab bagi FBI divisyen Detroit, David Gelios, memberitahu para waratawan di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Bishop semalam (21 Jun).

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mengenal pasti suspek sebagai Amor M. Ftouhi, 49 tahun, dan berasal dari Quebec Kanada.

Ftouhi memasuki Amerika Syarikat secara sah dari Lake Champlain, New York pada 16 Jun sebelum ke Flint, kata Encik Gelios.

Menurut satu aduan jenayah, Ftouhi melaungkan 'Tuhan maha besar' sebelum menikam Leftenan Jeff Neville yang bertugas di Jabatan Keselamatan Awam lapangan terbang itu.

Encik Neville berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan dan dijangka sembuh sepenuhnya, menurut polis.

"Apabila suspek menghampiri pegawai dan menikamnya, dia terus melaungkan 'Tuhan' dan mengeluarkan kata-kata, yang seolah-seolah berbunyi 'Anda semua sudah membunuh orang di Syria, Iraq dan Afghanistan dan kita semua akan mati," kata Encik Gelios.

Ftouhi sudah didakwa atas tuduhan keganasan di sebuah lapangan terbang antarabangsa dan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun jika disabit kesalahan.

Encik Gelios berkata tuduhan-tuduhan lain juga boleh didakwa ke atas Ftouhi.

Para pegawai Amerika Syarikat, yang menyiasat Ftouhi, percaya dia bertindak sendirian dan bukan sebahagian daripada komplot yang lebih besar," ujar Encik Gelios.

"Cukup untuk saya katakan, dia membenci Amerika Syarikat," kata Encik Gelios apabila ditanya tentang Ftouhi.

Encik Gelio mengatakan senjata yang digunakan adalah sebilah pisau sepanjang 12 inci dengan gerigi 8 inci. Ftouhi "bertindak sendirian", kata beliau.

Seramai empat orang diperlukan untuk mengawal Ftouhi, termasuk pegawai yang ditikamnya dan seorang pekerja penyenggaraan, kata Chris Miller, pengarah keselamatan awam lapangan terbang itu. Encik Miller dan seorang lagi pegawai turut membantu.

Menurut satu aduan jenayah, selepas ditangkap Ftouhi bertanya mengapa dirinya tidak dibunuh.

Lapangan terbang itu dikosongkan dan tiada yang dilaporkan cedera. Ia dibuka semula malam semalam.

Sumber : Reuters/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan