Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Europol beri amaran lebih banyak serangan mungkin dilancar di Eropah

Kumpulan ISIS berkemungkinan melancarkan lebih banyak serangan di Eropah, menurut agensi polis Kesatuan Eropah (EU) Europol hari ini (2 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Europol beri amaran lebih banyak serangan mungkin dilancar di Eropah

Europol ialah agensi Eropah untuk melawan jenayah terselaras, penyeludupan dan pengganasan. (Gambar: AFP/Jonathan Nackstrand)

Diterbitkan : 02 Dec 2016 09:40PM Dikemas Kini : 02 Dec 2016 09:43PM

THE HAGUE: Kumpulan ISIS berkemungkinan melancarkan lebih banyak serangan di Eropah, menurut agensi polis Kesatuan Eropah (EU) Europol hari ini (2 Dis).

Europol memberi amaran puluhan militan sudahpun dikerahkan dan lebih ramai mungkin akan tiba sedang ISIS kini berdepan dengan kekalahan di kubu-kubu kuatnya Syria dan Iraq.

Dalam laporannya tentang ancaman yang ditimbulkan ISIS terhadap blok 28 negara itu, Europol menyatakan jenis serangan yang paling berkemungkinan berlaku adalah jenis yang pernah dilancarkan tahun-tahun kebelakangan ini - serangan tembakan beramai-ramai dan pengeboman nekad yang berlaku di Paris dan Brussels, serangan tikaman serta serangan lain oleh para pelampau yang bertindak sendirian.

Pengeboman kereta dan penculikan, yang biasa berlaku di Syria, mungkin muncul sebagai taktik-taktiknya di Eropah, menurut Europol, sementara tapak-tapak terlindung seperti jaringan bekalan elektrik dan loji-loji kuasa nuklear tidak dilihat sebagai sasaran utama.

Pokoknya, menurut agensi itu, seluruh Kesatuan Eropah diancam kerana hampir kesemua pemerintahnya menyokong perikatan tentera yang dipimpin Amerika Syarikat di Syria.

MUNGKIN MENYUSUP MASYARAKAT PELARIAN SYRIA

Europol memberi amaran bahawa ISIS kemungkinan menyusup masuk ke dalam masyarakat-masyarakat pelarian Syria di Eropah, untuk mengapi-apikan lagi rasa tidak senang terhadap golongan pendatang yang sudah menggoyahkan banyak pemerintah EU.

"Sekiranya ISIS dikalahkan atau menjadi amat lemah di Syria/Iraq akibat pasukan perikatan, mungkin kadar militan dari luar negara dan keluarga mereka yang pulang dari rantau itu ke EU atau ke kawasan konflik yang lain akan meningkat," menurut Europol dalam kenyataannya.

Ia menyatakan ISIS juga berkemungkinan mula merancang serangan dan menghantar militan-militan ke Eropah dari Libya, dan kumpulan lain, termasuk Al Qaeda dan sekutu-kutunya, akan terus menimbulkan ancaman kepada benua itu.

Pengarah Europol, Rob Wainwright berkata, negara-negara EU sudah mempertingkatkan kerjasama keselamatan mereka menyusuli serangan-serangan ISIS sejak beberapa tahun lepas, hingga lebih banyak komplot dapat ditumpaskan.

"Bagaimanapun, laporan hari ini menunjukkan ancaman itu masih tinggi dan termasuk pelbagai komponen yang hanya dapat ditangani dengan kerjasama lebih baik," katanya.

Sumber : Reuters/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan