Images
  • man types computer
    (Gambar: Reuters/Kacper Pempel)

Dua hospital utama Indonesia terjejas dek serangan 'ransomware'

JAKARTA: Sekurang-kurangnya dua hospital utama di Indonesia terjejas oleh serangan perisian tebusan yang melanda merata dunia.

Perkara itu didedahkan oleh seorang pegawai pemerintah, semalam (13 Mei).

Semuel Pangerapan, ketua pengarah di Kementerian Perhubungan dan Penerangan Indonesia berkata Hospital Dharmais dan Hospital Harapan Kita terjejas akibat serangan siber itu.

“Usaha bagi membataskan sistem yang terjejas sedang dijalankan bagi mengelakkan (serangan perisian tebusan) daripada merebak,” kata beliau.

Encik Semuel menambah bahawa kementeriannya sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa yang lain, termasuk Kementerian Kesihatan bagi menangani masalah itu.

Menurut Abdul Kadir, pengarah-presiden Hospital Dharmais, hampir kesemua komputer hospital tersebut terjejas dengan sistem teknologi maklumatnya (IT) dikunci.

Ini bermakna rekod-rekod perubatan serta catatan pembayaran turut terkunci.

Hospital tersebut sedang memasang semula sistem sokongan pada komputer-komputer dan server simpanan dan menjangkakan penangguhan pada penyenggaraan sedang ia beroperasi tanpa IT.

Di merata dunia, hospital-hospital, syarikat-syarikat dan universiti-universiti terjejas oleh serangan siber terbaru ini dengan Britain dilaporkan paling teruk terjejas di mana hospital dan klinik terpaksa menolak kemasukan para pesakit akibat kehilangan akses kepada komputer-komputer, pada Jumaat lalu.

Kementerian Perhubungan Indonesia menasihatkan para pengguna komputer supaya mempunyai data simpanan dan mengemaskini benteng keselamatan siber mereka sebelum mengakses internet.

- CNA/hs

Komen Anda?

Top