Images
  • malaysia skyline
    Latar langit Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar fail: AFP/Jimin Lai)

Cukai pelancongan M'sia kuat kuasa 1 September ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memutuskan bahawa cukai pelancongan akan berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Sept ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini (8 Ogos).

Beliau berkata pelancong warga tempatan dan penduduk tetap dikecualikan daripada membayar cukai pelancongan itu.

Cukai itu, katanya, dikenakan pada kadar RM10 (S$3.20) bagi setiap bilik untuk setiap malam bagi pelancong asing yang menginap di premis penginapan termasuk hotel, rumah tumpangan, rumah rehat dan rumah penginapan.

Bercakap pada sidang akhbar hari ini, beliau menjelaskan cukai itu dikecualikan bagi premis penginapan 'homestay' atau 'kampung stay' yang berdaftar dengan kementerian, dan premis penginapan yang dikendali kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau badan berkanun bagi tujuan pendidikan, latihan atau kebajikan dan bukan bagi tujuan komersial.

"Pengecualian itu turut diberi kepada premis penginapan untuk kegiatan keagamaan yang didaftarkan di bawah undang-undang dan bukan untuk tujuan komersil serta premis penginapan yang mempunyai empat atau kurang daripada empat bilik," katanya.

Encik Mohamed Nazri berkata sejumlah RM210 juta (S$67 juta) hasil pendapatan daripada pungutan cukai itu dijangka dikutip setiap tahun.

- BERNAMA/IM/im

Komen Anda?

Top