Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Clinton, Trump bertikam lidah dalam perdebatan presiden pertama

Calon presiden dari parti Demokrat, Hillary Clinton, menuduh pesaingnya Donald Trump seorang yang rasis, seksis dan mengelak daripada membayar cukai.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Sep 2016 05:28PM Dikemas Kini : 28 Sep 2016 02:17AM

NEW YORK: Calon presiden dari parti Demokrat, Hillary Clinton, menuduh pesaingnya Donald Trump seorang yang rasis, seksis dan mengelak daripada membayar cukai.

Beliau berkata demikian dalam satu perdebatan presiden sengit yang boleh membentuk semula kempen 2016 bagi merebut jawatan tertinggi di Rumah Putih itu.

Encik Trump, hartawan hartanah dan calon dari parti Republican yang bertanding bagi jawatan presiden buat kali pertama, berkata tempoh lama Cik Clinton bertugas dalam perkhidmatan awam tidak membuahkan banyak hasil dan menggambarkan tindakannya menolak satu perjanjian perdagangan dengan negara-negara Asia adalah tidak ikhlas.

Bagi Encik Trump, 70 tahun, perdebatan itu adalah peluang untuknya kelihatan berdisiplin. Bagi Cik Clinton, 68 tahun, ia peluang untuknya memberi jaminan kepada para pengundi bahawa beliau boleh dipercayai. Masih belum jelas bagaimana para pengundi akan menilai prestasi mereka dalam perdebatan itu.

Namun dalam satu petanda bahawa para pelabur melihat Cik Clinton sebagai pemenang, bursa-bursa Asia menutup kerugian awal hari ini (27 Sep) dan nilai dolar naik sedikit berbanding yen setelah mencecah paras terendah dalam masa sebulan.

ISU KELAHIRAN PRESIDEN OBAMA

Ketika bertikam lidah dalam perdebatan itu, kedua-dua calon menyerang antara satu sama lain berhubung kontroversi yang dicetuskan Encik Trump selama bertahun-tahun lamanya tentang sama ada Presiden Barack Obama dilahirkan di Amerika Syarikat.

Presiden itu, yang dilahirkan di Hawaii, mendedahkan kepada umum sijil kelahirannya pada 2011 untuk menutup isu itu. Pada bulan ini, Encik Trump secara terbuka berkata beliau percaya Encik Obama dilahirkan di Amerika Syarikat.

"Beliau (Trump) sebenarnya memulakan kegiatan politiknya berdasarkan pembohongan rasis ini bahawa presiden berkulit hitam pertama kami bukan warga Amerika. Langsung tiada bukti mengenainya. Namun beliau tetap berkeras. Beliau terus membuat tuduhan itu tahun demi tahun," kata Cik Clinton.

Encik Trump mengulangi tuduhan palsunya bahawa kempen presiden Cik Clinton pada 2008 di mana beliau bersaing dengan Encik Obama namun gagal dipilih sebagai presiden, mencetuskan isu tersebut.

"Tiada sesiapa yang begitu mengendahkannya. Saya yang membuat beliau mendedahkan sijil kelahirannya itu dan saya rasa saya melakukan sesuatu yang baik," katanya.

Para pengundi Afrika-Amerika memberi sokongan kukuh kepada Cik Clinton, namun Encik Trump dalam beberapa minggu ini berkata beliau percaya agenda dasarnya akan memanfaatkan mereka dan menambah dasar-dasar Encik Obama dan Cik Clinton gagal membantu warga Amerika berkulit hitam.

Beliau berkata hujah-hujah Cik Clinton adalah tidak ikhlas.

"Apabila anda berlagak baik, ia tidak begitu membuahkan hasil," kata Encik Trump.

MERAH DAN BIRU

Cik Clinton memakai baju sut dan seluar merah, sementara Encik Trump memakai sut hitam dan tali leher biru dalam perdebatan presiden itu menjelang pilihan raya pada 8 November. Cik Clinton memanggil Encik Trump 'Donald'. Encik Trump pula memanggil beliau 'Setiausaha Clinton' bagi sebahagian besar perdebatan itu sebelum beralih memanggilnya 'Hillary'.

Pada penghujung perdebatan itu, Encik Trump berkata Cik Clinton tidak mempunyai daya tahan untuk menjadi presiden. "Beliau tidak mempunyai penampilannya, tidak mempunyai stamina," katanya.

Namun merujuk kepada rekod awamnya, Cik Clinton membalas: "Sebaik sahaja beliau ke 112 negara dan merunding perjanjian damai, gencatan senjata atau pembebasan anasir-anasir penentang.. ataupun menghabiskan 11 jam memberi kenyataan di hadapan jawatankuasa kongres, beliau boleh bercakap dengan saya tentang stamina."

TUDUH BOHONG, PUTAR BELIT FAKTA

Kedua-duanya menuduh antara satu sama lain memutarbelitkan fakta dan berbohong, dan menggesa para penonton supaya ke laman-laman kempen mereka bagi memeriksa fakta-faktanya.

Cik Clinton menyifatkan dasar-dasar cukai Encik Trump sebagai dasar-dasar ekonomi yang akan memanfaatkan dirinya sementara Encik Trump menuduh mantan setiausaha negara itu sebagai hanya bercakap besar.

Cik Clinton juga mengecam Encik Trump kerana tidak mendedahkan penyata-penyata cukai pendapatannya dan berkata keputusan itu membangkitkan soalan sama ada beliau sekaya dan seorang dermawan seperti yang dikatakannya sebelum ini.

TRUMP ELAK BAYAR CUKAI?

Beliau menarik perhatian bahawa penyata-penyata cukai selama beberapa tahun yang didedahkan Encik Trump menunjukkan meskipun Encik Trump kaya, beliau tidak membayar sebarang cukai pendapatan persekutuan.

"Itu bermakna saya bijak," kata Encik Trump.

Encik Trump juga berkata beliau "mempunyai pendapatan yang besar sekali" dan menambah sudah tiba masanya seseorang yang mentadbir negara tahu-menahu tentang pengurusan wang.

Encik Trump pula menyerang Cik Clinton mengenai dasar-dasar perdagangannya dan berkata Cik Clinton akan meluluskan satu perjanjian perdagangan kontroversi dengan negara-negara Asia meskipun beliau kini membantahnya. 

Sumber : Reuters/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan