Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Burung kakak tua buat tempahan online dengan meniru suara pemiliknya

Seorang wanita begitu terkejut setelah seekor burung kakak tua peliharaannya berjaya membuat tempahan online menerusi sofwe pengesan suara Amazon, Alexa.

Anggaran Waktu Membaca:
Burung kakak tua buat tempahan online dengan meniru suara pemiliknya

Burung kakak tua. (Gambar: MOHD RASFAN / AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2017 01:14PM Dikemas Kini : 22 Sep 2017 01:18PM

AMERIKA SYARIKAT: Seorang wanita begitu terkejut setelah seekor burung kakak tua peliharaannya berjaya membuat tempahan online menerusi sofwe pengesan suara Amazon, Alexa.

Corienne Pretorius, 39 tahun, terpinga-pinga apabila sebuah kotak hadiah bernilai £10 (S$18) dihantar ke rumahnya, sedangkan beliau tidak membuat sebarang tempahan.

Cik Pretorius kemudian bertanya kepada suaminya, Jan, 45 tahun dan anak tunggalnya Jaden, yang berusia lapan tahun, sebelum menyedari rupa-rupanya ia adalah 'kerja' Buddy - burung kakak tua jenis African Grey yang dipeliharanya.

BUDDY TIRU SUARA, BUAT TEMPAHAN

Cik Pretorius, yang berasal dari Greenchwich, London berkata burung 'bertuah' itu meniru suara beliau dan mungkin secara tidak sengaja mengaktifkan alat pengesan suara Alexa, sekaligus membuat tempahan yang tidak disangka-sangka itu, lapor Daily Mail.

Beliau berkata: "Saya seolah-olah tidak percaya apabila saya menyedari rupa-rupanya Buddy yang menggunakan alat Alexa itu untuk membuat tempahan di laman Amazon.

"Kami sendiri tidak tahu menggunakannya bagi tujuan itu.

"Kami sudah memiliki alat itu sekitar empat bulan dan saya menggunakannya untuk memainkan muzik atau mencatat perkara-perkara yang perlu dilakukan tetapi tidak pernah menggunakannya untuk membuat tempahan online.

"Pada hari Ahad (17 Sep) kami keluar rumah selama beberapa jam, apabila saya pulang, saya terdengar Buddy berbunyi tetapi tidak pasti apa yang disuarakannya.

"Kemudian saya mendengar alat Alexa itu mengatakan: 'Maaf saya tidak memahami (apa yang anda katakan)'. Buddy kemudian berbunyi lagi: 'Alexa' dan beberapa perkataan yang saya kurang pasti sebelum alat itu menjawab: 'Apa yang ingin anda tempah?'

"Saya tidak mendengar lagi apa yang berlaku selepas itu dan tidak memikirkannya sehingga pada satu ketika saya sedang membuat kerja di komputer dan menerima maklumat bahawa tempahan saya dari Amazon sudah diterima.

"SAYA KETAWA BESAR!"

Oleh kerana Cik Pretorius tidak membuat sebarang tempahan, beliau tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh maklumat yang diterima dari Amazon, lapor Daily Mail.

"Saya bertanya kepada suami dan anak lelaki saya yang tentu sekali tidak tahu apa maksud saya. Jadi saya bertanya kepada alat Alexa itu: "Apa tempahan terbaru saya?" dan ia memberitahu tentang kotak hadiah ini.

"Saya ketawa besar kerana pada waktu itu saya menyedari bahawa ia perbuatan Buddy!"

Cik Pretorius, yang mengendalikan sebuah perniagaan menghias kek, diberikan alat bijak berharga £150 (S$270) oleh bapanya, lapor Daily Mail.

Alat itu membolehkan pengguna berhubung dengan hab beli-belah Amazon dan juga mengawal penggunaan air lampur serta menempah makanan.

Cik Pretorius, yang berasal dari Afrika Selatan, membeli Buddy, yang berusia empat tahun, pada tahun 2013 berkata ia selalu meniru suara beliau, lapor Daily Mail.

Beliau menambah: "Buddy banyak bercakap tetapi bukan di depan saya.

"Jika saya berada di dalam bilik yang sama, ia tidak akan bersuara kerana ia sedang mendengar dan kemudian apabila saya keluar, Buddy akan meniru suara saya.

"Buddy lucu - kami juga memelihara seekor kucing dan Buddy juga meniru suara kucing saya. Pandai curi perhatian!"

Sumber : Agensi berita/NK/
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan