Images
  • World

Buang mayat bayi masih bertali pusat dalam longkang: Pelajar perempuan ditahan

KUANTAN: Polis menahan seorang pelajar wanita sebuah institusi pengajian tinggi berhubung kes penemuan mayat bayi lelaki di dalam longkang berhampiran Klinik Desa Bukit Sagu petang semalam (16 Jul).

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata dalam kejadian pukul 4.00 petang itu, suspek ke Pondok Polis Bukit Goh dengan membawa mayat bayi berkenaan yang diletakkan di dalam plastik berwarna biru dan dibalut dengan surat khabar serta masih bertali pusat.

"Wanita itu pada awalnya mendakwa menemukan mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan itu di dalam longkang dan telah membawanya ke pondok polis atas nasihat orang ramai.

"Bagaimanapun setelah diasak dengan beberapa soalan beberapa kali, wanita berkenaan akhirnya mengaku bayi itu miliknya dan dilahirkan beberapa jam sebelum itu di rumah teman lelakinya di sebuah kuarters kerajaan berhampiran kawasan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berikutan itu, polis turut menahan teman lelaki wanita berkenaan berusia 27 tahun yang merupakan kakitangan sebuah jabatan kerajaan negeri.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Abdul Aziz berkata siasatan awal polis turut mendapati punca kematian bayi berkenaan adalah akibat kelahiran pramatang.

- BERNAMA/im

Komen Anda?

Top