Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Britain, China, Turki, Iran, Pope Francis lahirkan kebimbangan, kritik keputusan Trump berhubung Baitulmakdis

Banyak negara dan pemimpin dunia kini menyuarakan kebimbangan mereka tentang tindakan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
Britain, China, Turki, Iran, Pope Francis lahirkan kebimbangan, kritik keputusan Trump berhubung Baitulmakdis

Bendera Israel berkibar di hadapan menara masjid di Bandar Lama Baitulmakdis. (Gambar: AFP/Thomas Coex)

Diterbitkan : 06 Dec 2017 10:49PM Dikemas Kini : 06 Dec 2017 10:52PM

BERITAMediacorp: Banyak negara dan pemimpin dunia kini menyuarakan kebimbangan mereka tentang tindakan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Pengumuman Presiden Amerika Syarikat itu dijangka dibuat selepas tengah malam waktu Singapura.

Para pegawai Palestin sudahpun memberitahu bahawa Presiden Trump sudah menelefon Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, untuk memberitahu tentang langkah Washington mahu memindahkan kedutaan Amerika ke Baitulmakdis.

Yang pasti ramai pemimpin dunia tampil memberi amaran dan kurang senang dengan langkah Presiden Trump itu. Pengumuman tersebut, jika dibuat, dijangka mencetus keganasan yang berlarutan di Timur Tengah.

Berikut ini BERITAMediacorp membawakan reaksi dari sebilangan negara mengenai langkah penuh kontroversil Presiden Trump itu.

TURKI

Timbalan Perdana Menteri merangkap jurucakap pemerintah Turki, Bekir Bozdag menyifatkan langkah Presiden Trump itu sebagai “bencana besar bagi semua orang.”

Menurutnya, ia bagaikan “mencampak rantau itu dan (sekaligus) dunia dalam satu kebakaran yang tidak diketahui bila akan terpadam.” Beliau menjangkakan bahawa tindakan itu akan menghasilkan “kesan-kesan yang tidak diingini yang kami tidak pernah meramalkan”.

Sebelum ini, Presiden Recep Tayyip Erdogan sudahpun memberi amaran ia boleh menyebabkan Turki memutus hubungan dengan Israel.

CHINA

China hari ini melahirkan rasa bimbang bahawa langkah Amerika Syarikat itu akan mencetuskan permusuhan-permusuhan baru di rantau itu.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang berkata: "Kami bimbang tentang kemungkinan ketegangan akan memuncak." China selama ini menyokong penubuhan sebuah negara Palestin dengan Baitulmakdis Timur selaku ibu kota negara Palestin.

BRITAIN

Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson menyuarakan amaran tentang rancangan Presiden Trump untuk mengiktiraf Baitulmakdis selaku ibu kota Israel.

"Kami memandang laporan-laporan yang kami dengar (tentang pengiktirafan Baitulmakdis selaku ibu kota Israel) dengan rasa bimbang, kerana kami rasa Baitulmakdis seharusnya menjadi sebahagian daripada huraian muktamad antara Israel dengan Palestin, huraian secara berunding."

POPE FRANCIS

Malah, pemimpin bukan Islam juga menolak tindakan Presiden Trump itu. Pope Francis hari ini menggesa atau 'status quo' atau keadaan sekarang dihormati. Vatican City menyokong huraian dua negar aberbeza bagi Palestin dan Israel.

Beliau menambah bahawa ketegangan-ketegangan baru di Timur Tengah akan selanjutnya mengapi-apikan lagi konflik di dunia. "Saya dengan sepenuh hati merayu agar semua pihak komited untuk menghormati status quo bandar tersebut (Baitulmakdis), selaras dengan resolusi-resolusi penting Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Pope Francis.

SYRIA

Pemerintah Syria pula mengutuk rancangan Presiden Donald Trump itu.

"Ini adalah satu initiatif berbahaya oleh pentadbiran AS yang dengan jelas mencerminkan penghinaan Amerika Syarikat kepada undang-undang antarabangsa," menurut Kementerian Luar Syria.

IRAN

Presiden Iran, Hassan Rouhani mengkritik hasrat Presiden Donald Trump mahu menjadikan bandar Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel, sebagai tidak boleh diterima.

Semasa bercakap menerusi telefon dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Presiden Rouhani menyifatkan langkah Presiden Trump itu sebagai "salah, haram, provokatif dan sangat berbahaya".

"Iran tidak akan menerima pencabulan terhadap kesucian Islam...Muslim mesti berdiri teguh bersama menentang komplot besar ini," tambah beliau lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan