Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas penyampai berita, Iskandaria Masduki, siap berdepan Taufan Irma di Florida

Walaupun bukan kali pertama berdepan dengan ribut taufan sepanjang beliau bermastautin di Amerika Syarikat, anak Melayu Singapura ini tetap berasa bimbang.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas penyampai berita, Iskandaria Masduki, siap berdepan Taufan Irma di Florida

Bekas penyampai berita TV 12, Iskandaria Masduki. (Gambar-gambar: Iskandaria Masduki-Harvey/Facebook)

BERITAMediacorp: Walaupun bukan kali pertama berdepan dengan ribut taufan sepanjang beliau bermastautin di Amerika Syarikat, anak Melayu Singapura ini tetap berasa bimbang. Ini kerana kali ini, Taufan Irma dengan kekuatan Kategori 4, dilaporkan semakin hampir dengan kawasan beliau menetap.

Bekas penyampai berita Melayu stesen Prime 12 (kini Suria) pada tahun-tahun 1990-an - Iskandaria Masduki - sudah berpindah ke Florida sejak 11 tahun lalu.

Beliau kini tinggal di sebuah apartmen di daerah Tallahassee bersama suaminya, Akil Harvey, dan seekor kucing peliharaan yang diberi nama Paris Hilton.

Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Cik Iskandaria memberitahu bahawa daerah tempat tinggal beliau jarang sekali dibadai taufan sehinggalah tahun lalu apabila mereka dilanda Taufan Hermine.

(Gambar-gambar: Iskandaria Masduki-Harvey/Facebook)

"Tentu sekali bimbang. Anginnya agak menyeramkan kerana di Tally (singkatan bagi Tallahassee) terdapat banyak pokok. Ia mungkin tumbang menghempap rumah atau apartmen (kami), sedangkan kami berada di dalam rumah. Objek asing juga boleh 'terbang' memecahkan tingkap anda," kata Cik Iskandaria.

Hakikatnya, Taufan Irma membawa angin yang luar biasa kuatnya - sekencang 210 kilometer sejam. "Anda hanya boleh berharap agar rumah anda utuh," tambah beliau. Yang pasti, kerosakan bernilai berbilion-bilion dolar Amerika boleh dijangkakan.

TAUFAN IRMA BADAI TALLAHASSEE 18 JAM

Menurut Cik Iskandaria, beliau menjangkakan Taufan Irma akan lebih dahsyat berbanding Taufan Hermine pada tahun lalu. Ini memandangkan sejauh ini Taufan Irma sudahpun menjejas begitu ramai orang dan "sebelum ini belum pernah hampir keseluruhan penduduk Florida dinasihatkan supaya berpindah".

Kini, pukulan awal Taufan Irma sudahpun mengakibatkan sekitar 1.4 juta rumah dan premis perniagaan di Florida kehilangan bekalan elektrik.

(Gambar-gambar: Iskandaria Masduki-Harvey/Facebook)

Semasa diwawancara BERITAMediacorp menerusi aplikasi mesej Facebook sekitar pukul 9.00 malam semalam (Ahad, 10 Sep), Taufan Irma sedang menghala ke Tallahassee. Cik Iskandaria berkata ia dijangka membadai daerah tersebut sekitar pukul 2.00 petang esok waktu Florida (2.00 pagi Selasa waktu Singapura, 12 Sep).

"Ia dijangka memukul selama kira-kira 18 jam," ujar Cik Iskandaria yang sekarang bertugas sebagai Perunding Pembelajaran bagi Universiti Wilayah Florida dan Universiti Nasional Singapura (NUS). Panggilan rasmi untuk dirinya ialah Dr Iskandaria Masduki.

BERITAMediacorp dimaklumkan bahawa bekalan elektrik juga dijangka terputus pada waktu yang sama dan mungkin berlarutan antara dua dengan tujuh hari.

TIDAK JADI PINDAH DISEBABKAN TRAFIK SESAK

Pada awalnya, Cik Iskandaria dan suami beliau merancang untuk berlindung di sebuah bilik hotel di Talladega - kira-kira lima jam perjalanan menggunakan kereta dari rumah mereka.

"Kali ini kami tidak bersiap sedia dan merancang untuk ke bahagian utara. Namun melihatkan keadaan trafik yang teruk, kami memutuskan untuk tidak berpindah dan rakan kami (sepasang suami isteri) mengajak kami tumpang di rumah mereka buat sementara waktu," kongsi Cik Iskandaria.

Ini kerana beliau bimbang bahawa perjalanan lima jam itu boleh bertukar menjadi perjalanan 10 jam! Mengapa? Kerana dengan ratusan ribu atau jutaan orang membanjiri jalan raya untuk menyelamatkan diri, ia boleh menghambat pergerakan. Keadaan boleh diburukkan lagi jika gas atau minyak kereta kehabisan!

Sebaliknya, rumah rakan Cik Iskandaria yang menjadi tempat penginapan sementara itu terletak kira-kira 20 minit sahaja dari apartmen beliau.

Beliau menambah rumah rakannya itu adalah rumah batu, maka ia kukuh "kecuali jika bumbung rumah terbang". Rakannya itu juga mempunyai dapur gas dan ini bermakna mereka boleh memasak meskipun bekalan elektrik terputus.

(Gambar-gambar: Iskandaria Masduki-Harvey/Facebook)

BAGAIMANA KALAU RUMAHNYA DIMASUKI PENCURI? MEREKA AKAN KECEWA!

Selain itu, sebelum meninggalkan apartmen beliau untuk berlindung di rumah rakannya, Cik Iskandaria menyiapkan beberapa bongkah ais yang dimasukkan ke dalam peti beku dengan harapan agar makanan di dalamnya kekal beku sehingga taufan reda.

Memandangkan beliau seorang perunding pembelajaran, tentu sekali buku-buku dan fail-fail kajiannya menjadi keutamaan.

"Saya menyimpan buku-buku dan fail-fail kajian kedoktoran dalam plastik yang tahan lasak supaya ia tidak basah (disebabkan hujan), sekiranya apartmen kami dihempap pokok atau bumbungnya roboh," cerita karyawan berusia 47 tahun itu kepada BERITAMediacorp.

"Kami juga menyimpan air dan makanan yang sudah dimasak untuk dibawa ke rumah rakan kami. Kami bungkus ubat-ubatan, pakaian dan peralatan digital. Selain itu, tidak banyak barangan yang ada," tambah Cik Iskandaria yang baru tiga minggu pulang ke Florida setelah berada di Singapura selama 10 bulan sebelum itu.

Dalam pada itu Cik Iskandaria sempat juga berseloroh: "Apa yang kami bimbangkan adalah jika ada orang yang memecah masuk rumah kami dan mencuri."

"Jika itu berlaku, orang itu pasti akan kecewa kerana kami tidak mempunyai banyak barangan," beliau memberitahu BERITAMediacorp sambil tertawa.

PENDUDUK DI DAERAH CENDERUNG BENCANA BERDAYA BINGKAS

Cik Iskandaria memberitahu pihak kami, mujur beliau memiliki sebuah kereta Honda CRV, maka beliau dapat memuatkan barangannya di dalam kereta.

Apabila ditanya kemungkinan keretanya akan tenggelam dek banjir akibat Taufan Irma, beliau menjawab bahawa kereta tersebut "perlu diletakkan di tempat tinggi supaya tidak hanyut sekiranya berlaku banjir".

"Kami letakkan kereta jauh daripada pokok-pokok atau apa saja yang boleh menyebabkan serpihan jatuh atas kereta. Tapi lazimnya kami hanya letakkan kereta dan berdoa," ujar beliau.

Menceritakan lebih lanjut mengenai keadaan penduduk di Florida, beliau berkata mereka yang tinggal di daerah di mana sering berlaku bencana adalah golongan yang berdaya bingkas. Oleh itu mereka akan "dapat menanganinya".

"Mereka akan mengalihkan pokok-pokok yang sudah tumbang dan membersihkan jalan raya terlebih dahulu. Kemudian menghidupkan mesin-mesin jana kuasa bagi menghidupkan menara-menara pemancar isyarat telefon.

Kemusnahan akibat Taufan Irma di Anglins Fishing Pier, Florida. (Gambar: CHIP SOMODEVILLA / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / AFP) 

Kemusnahan akibat Taufan Irma di Anglins Fishing Pier, Florida. (Gambar: CHIP SOMODEVILLA / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / AFP) 

HANYA MAKAN ROTI DISAPU MENTEGA KACANG

Cik Iskandaria memberitahu BERITAMediacorp, perkara paling sukar semasa berlaku taufan adalah begitu ramai orang akan kehilangan tempat tinggal.

"Semalam (9 Sep) suami saya bertemu seseorang di tempat perlindungan yang memberitahunya, mereka hanya diberikan roti yang disapu mentega kacang untuk dimakan," kongsi beliau.

Ditanya tentang keluarganya yang di Singapura, Cik Iskandaria berkata mereka sangat khuatir tentang keselamatan beliau.

"Mereka amat bimbang. Saya baru tinggalkan Singapura tiga minggu lalu dan sekarang sedang bersiap sedia berdepan dengan taufan paling dahsyat yang pernah membadai Florida. Tapi apa yang boleh mereka buat, kirim doa sajalah," jelas beliau memberitahu duduk perkara.

Kemusnahan akibat Taufan Irma di Boca Raton, Florida. (Gambar: CHIP SOMODEVILLA / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / AFP)

Kemusnahan akibat Taufan Irma di Boca Raton, Florida. (Gambar: CHIP SOMODEVILLA / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / AFP)

Bagi Cik Iskandaria sendiri, beliau dan suaminya sudahpun merancang akan pulang ke rumah mereka sebaik sahaja bekalan elektrik kembali pulih.

"Sekiranya keadaan rumah kami tidak lagi sesuai untuk didiami, kami akan mencari rumah sewa yang lain, selamatkan apa yang boleh dan mulakan hidup baru. Begitulah kehidupan," katanya dengan penuh praktikal.

Memang, manusia tidak boleh melawan kekuatan alam semula jadi seperti Taufan Irma. Manusia hanya boleh berharap, Irma tidak akan 'terlalu' mengganas, sedang nafasnya terus bernyawa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan