Beberapa lapangan terbang Indonesia masih ditutup pada Hari Raya
Beribu-ribu rakyat Indonesia tidak dapat pulang ke kampung halaman dan rumah masing-masing untuk menyambut hari pertama Aidilfitri bersama tanpa anggota keluarga tersayang.
SURABAYA: Beribu-ribu rakyat Indonesia tidak dapat pulang ke kampung halaman dan rumah masing-masing untuk menyambut hari pertama Aidilfitri bersama tanpa anggota keluarga tersayang.
Ini kerana empat lapangan terbang di negara itu masih ditutup hari ini akibat debu gunung berapi.
Sebanyak enam lapangan terbang di Indonesia ditutup semalam, sehari sebelum Aidilfitri. Lapangan terbang antarabangsa di bandar kedua terbesar Indonesia, Surabaya, serta empat lapangan terbang lebih kecil, ditutup akibat letupan Gunung Berapi Raung di Jawa.
Lapangan terbang di pulau Ternate pula ditutup akibat debu Gunung Berapi Gamalama, menurut Kementerian Pengangkutan.
Semalam, warga Muslim Indonesia yang merancang untuk pulang ke rumah dan menyambut malam terakhir Ramadan bersama keluarga, sebaliknya terpaksa bermalam di terminal-terminal lapangan terbang yang padat dengan penumpang, dan ramai daripada mereka tidur di lantai.
DUA LAPANGAN TERBANG DIBUKA SEMULA
Mujur hari ini, lapangan terbang Surabaya dan sebuah lagi lapangan terbang di Jawa Timur dibuka semula, menurut kementerian pengangkutan. Beberapa syarikat penerbangan juga menyambung semula penerbangan pada petang ini.
Namun, puluhan penerbangan ditangguh selama berjam-jam.
AirAsia menyambung semula penerbangan "lebih awal daripada jadual yang ditetapkan", menurut syarikat itu, namun terpaksa membatalkan dan menjadualkan semula penerbangan yang lain.
Beberapa laluan penerbangan domestik dan antarabangsa Garuda Indonesia juga kembali beroperasi. Syarikat itu mengerahkan dua pesawat lebih besar ke Surabaya untuk membawa lebih ramai penumpang.
Empat lapangan terbang - tiga di Jawa Timur iaitu Malang, Banyuwangi dan Jember, serta di Ternate - masih ditutup akibat letupan gunung berapi. Masih tidak diketahui bila ia akan dibuka semula.
Garuda membatalkan kesemua penerbangannya di lapangan-lapangan terbang yang ditutup itu, dan menyatakan ia akan menyambung semula khidmat penerbangan apabila lapangan-lapangan terbang dibuka semula oleh pihak berkuasa.
Rakyat Indonesia sejak beberapa hari ini membuat perjalanan pulang ke kampung halaman dan rumah masing-masing untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga dengan menaiki pesawat, kapal atau kereta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.