Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bayi jatuh ke lantai gara-gara jururawat cuai

Sebuah pusat jagaan pasca kelahiran dikecam setelah salah seorang kakitangannya menyebabkan bayi yang baru dilahirkan terjatuh ke lantai.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi jatuh ke lantai gara-gara jururawat cuai

Petikan gambar dari video (Gambar: YouTube)

Diterbitkan : 18 Sep 2017 11:20PM Dikemas Kini : 21 Sep 2017 10:49AM

CHINA: Sebuah pusat jagaan pasca kelahiran dikecam setelah salah seorang kakitangannya menyebabkan bayi yang baru dilahirkan terjatuh ke lantai.

Kakitangan wanita berkenaan sedang menolak kereta sorong bayi tersebut apabila ia tiba-tiba tergolek, menyebabkan bayi di dalamnya terjatuh ke lantai, lapor laman Daily Mail.

Menurut seorang jurucakap di pusat itu, jururawat berkenaan adalah kakitangan perubatan yang berpengalaman dan mujur bayi tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keluarga bayi itu bagaimanapun bertegas mahu memfailkan saman ke atas pusat jagaan tersebut pada minggu depan, menurut seorang wakil keluarga yang menyifatkan jururawat berkenaan sebagai "langsung tidak bertanggungjawab".

Insiden itu berlaku pada sebelah pagi 16 Julai di Pusat Jagaan Pasca Kelahiran Puruming yang terletak di Yanji, di timur laut China, lapor Daily Mail.

Rakaman video yang viral menunjukkan jururawat yang memakai seragam berwarna ungu sedang menolak kereta sorong dengan cuai sehingga ia tergolek. Bayi yang di dalamnya kemudian terjatuh, dengan bahagian kepalanya terhantuk pada lantai terlebih dahulu.

Seorang lagi jururawat, bergegas untuk membantu mengangkat bayi berkenaan.

Bayi lelaki itu, berusia 19 hari, semasa insiden tersebut berlaku, menurut Wang Xi, peguam yang mewakili keluarganya seperti yang dipetik oleh Daily Mail.

Rakaman video itu menjadi viral setelah disebarkan oleh seorang peguam yang berpangkalan di Beijing, Yi Shenghua.

Menerusi catatannya, Encik Yi menuduh pusat tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.

Encik Yi, yang begitu marah, menulis begini: "Jika rakaman CCTV itu tidak disebarkan, berapa lama agaknya anda (pihak pusat jagaan itu) akan menyorokkannya daripada pengetahuan umum?"

Video itu kemudian menarik perhatian begitu ramai warga siber dan ada yang menyifatkan perbuatan jururawat terbabit sebagai "cuai" dan "ganas".

Pusat itu mendakwa ia menyediakan pelbagai khidmat jagaan bagi para ibu yang baru melahirkan dan bayi mereka.

Khidmat yang ditawarkan pusat itu termasuk jagaan khusus bagi bayi dan latihan yoga untuk para ibu, lapor Daily Mail.

Seorang jurucakap pusat tersebut mengesahkan insiden itu berlaku pada bulan Julai, namun menyifatkannya sebagai "kecuaian kecil".

Beliau memberitahu para wartawan dari Pear Video bahawa jururawat itu sebelum ini pernah bertugas sebagai Timbalan Pengarah di sebuah hospital selama lebih 30 tahun.

Beliau juga berkata: "Bayi itu tidak cedera. Imbasan CT di Hospital Rakyat juga tidak menunjukkan sebarang kecederaan pada bahagian otaknya."

Beliau menambah: "Lagipun, manusia bukan tuhan. Kadang-kala kemalangan boleh berlaku."

Cik Wang, peguam keluarga bayi itu, memberitahu MailOnline, meskipun pemeriksaan perubatan tidak menunjukkan sebarang kecederaan pada bayi, ia tidak menjamin bahawa kesihatan otak bayi tidak akan terjejas pada masa-masa akan datang.

"Kami boleh melihat daripada rakaman video tersebut, kakitangan itu langsung tidak bertanggungjawab," kata Cik Wang.

MailOnline menghubungi pusat tersebut bagi mendapatkan komen, namun dimaklumkan bahawa mereka tidak boleh memberikan sebarang komen berhubung perkara itu dan mereka tidak mengetahui di mana pengurus mereka berada.

Sumber : Agensi berita/NK/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan