Images
  • 4 bayi arrest
    (Gambar: BERNAMA)

Bayi 4 hari antara 440 pendatang haram yang ditangkap

KUALA LUMPUR: Sejumlah 440 pendatang haram termasuk bayi berusia empat hari ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Imigresen di sekitar Jalan Alor dan Jalan Changkat, Bukit Bintang semalam (14 Nov).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata 389 lelaki dan 47 wanita yang ditahan itu terdiri daripada mereka berkerakyatan Bangladesh, Nepal, Vietnam, Pakistan, Indonesia dan India.

“Kami melakukan pemeriksaan terhadap 915 pendatang asing dan 440 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan seperti tiada pengenalan diri yang sah dan penyalahgunaan pasport," kata Datuk Seri Mustafar selepas operasi dari 4.30 petang hingga 7.00 malam itu.

Beliau menambah, individu yang ditahan termasuk mereka yang melakukan pelbagai pekerjaan seperti sebagai tukang urut di sekitar Bukit Bintang.

Mereka yang ditahan akan diarahkan kembali ke negara masing-masing meskipun proses undang-undang akan tetap diambil terlebih dahulu ke atas mereka yang terlibat dengan kegiatan jenayah.

"Tiada istilah kebal atau dilindungi oleh orang tertentu dalam isu ini. Tumpuan juga diberi terhadap individu yang menggajikan mereka serta menyewakan premis kepada pendatang asing tanpa izin," katanya.

Selain petugas Jabatan Imigresen, operasi turut disertai kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia.

- BERNAMA/AQ/aq

Komen Anda?

Top