Images
  • mexican toddler
    Luis Manuel Gonzales yang berusia 10 bulan dan mempunyai berat 28kg. (Gambar: AFP/PEDRO PARDO)

Bayi 10 bulan seberat 28kg gemparkan doktor

TECOMAN, Mexico: Seperti bayi 10 bulan yang lain, Luis Manuel Gonzales sedang belajar bertutur dan gemar mencapai apa saja yang hampir dengannya.

Bagaimanapun, dia jelas menarik perhatian dengan cara yang mengejutkan dan mungkin cara yang membahayakan nyawanya - iaitu dengan berat badan 28 kilogram.

Dia mungkin memerlukan rawatan perubatan yang akan menelan belanja ribuan dolar, tetapi ayahnya sekadar meraih pendapatan lebih AS$200 (S$270) setiap bulan.

Malah, doktor juga belum dapat mencari punca di sebalik berat dan saiz Luis Manuel yang besar.

Mexico mempunyai kadar paling tinggi bagi kegemukan kanak-kanak dan kencing manis, dan Gonzales adalah contoh paling ekstrem bagi situasi tersebut.

Dia dilahirkan dengan berat badan 3.5 kilogram, hampir sama dengan saudara lelakinya Mario, yang kini berusia tiga tahun tetapi tetap nampak jauh lebih kecil berbanding adik lelakinya.

Pada usia dua bulan, Luis mencecah berat 10 kilogram. Selang lapan bulan kemudian, berat badannya naik sebanyak 18 kilogram.

Ibu bapanya juga membuka akaun Facebook dan akaun bank bagi orang ramai untuk menderma bagi jagaan perubatan Luis Manuel.

Ibu bapa bayi itu turut terkejut selepas mendapat tahu setiap suntikan hormon yang mungkin diperlukannya berharga AS$555 (S$760) setiap satu.

Meskipun banyak kajian dan pemeriksaan yang dibuat, tiada sesiapa yang tahu apa punca kegemukan bagi bayi itu.

Salah satu hipotesis utama adalah dia mungkin menghidapi penyakit Sindrom Prader-Willi, keadaan genetik di mana kanak-kanak mempunyai selera makan besar dan tona otot lemah, meskipun bayi itu tidak makan terlalu banyak atau sering meminta makan sepanjang hari.

Gangguan itu juga boleh menyebablan masalah jantung dan kelengahan pada pembangunan otak dan alat kelamin.

Pada hari pertama dia disuntik, bayi itu sudahpun mempunyai berat 10 kilogram, dedah ibunya.

- AFP/IM/im

Komen Anda?

Top