Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BASARNAS akan teruskan operasi mencari mangsa QZ8501

Operasi mencari mayat mangsa nahas pesawat Airasia QZ8501 akan diteruskan walaupun tiada lagi penglibatan pihak berkuasa lain seperti Tentera Nasional Indonesia (TNI), kata Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia, (BASARNAS).

Anggaran Waktu Membaca:
BASARNAS akan teruskan operasi mencari mangsa QZ8501

Pegawai Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) mengeluarkan mayat nahas pesawat AirAsia daripada sebuah helikopter, setiba mereka di lapangan terbang Pangkalan Bun, pada 5 Januari 2015. (Gambar: AP/Tatan Syuflana)

Diterbitkan : 28 Jan 2015 02:56PM Dikemas Kini : 28 Jan 2015 06:51PM

JAKARTA: Operasi mencari mayat mangsa nahas pesawat Airasia QZ8501 akan diteruskan walaupun tiada lagi penglibatan pihak berkuasa lain seperti Tentera Nasional Indonesia (TNI), kata Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia, (BASARNAS).

Ketua BASARNAS, Bambang Soelistyo berkata, penarikan diri TNI tidak ada kaitan dengan tindakan memberhentikan operasi tersebut, seperti yang dilaporkan media.

"Sepanjang saya selaku penyelaras usaha mencari dan menyelamat, belum dinyatakan ditutup. Maka operasi pencarian masih tetap berlanjut," katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen MetroNews di sini hari ini.

Tentera Indonesia semalam berkata operasi menarik keluar bahagian utama QZ8501 daripada dasar laut sudah dihentikan, 30 hari selepas pesawat itu terhempas di Laut Jawa dengan membawa 162 penumpang dan kru. Beberapa percubaan mengapungkan bahagian utama pesawat ke permukaan laut gagal.

Encik Bambang berkata BASARNAS akan meneruskan usaha mencari mayat mangsa sekurang-kurangnya selama seminggu, dan mungkin akan meminta pihak tentera menyertai kembali operasi tersebut, menurut laporan AP Dow Jones.

Namun Encik Bambang menambah, kekuatan BASARNAS tidak lemah walaupun tanpa pasukan TNI, kerana badan itu turut mempunyai sistem pencarian seperti alat pencarian dasar laut dan sedang diusahakan oleh kapal milik SKK Migas, menurut laporan Bernama.

Katanya, BASARNAS memberikan tempoh dua hari untuk pasukan mencari dan menyelamat berehat setelah bekerja selama sebulan di tengah laut.

Setakat ini, 70 mayat sudah ditemui, dan daripada jumlah itu, 55 mayat dikenal pasti dan diserahkan kepada waris masing-masing.

Pesawat QZ8501 terhempas semasa dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada 28 Disember lalu. 

Sumber : Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan