Images
  • indonesia haze (1)
    Pasukan bomba bersama para askar memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan. (Gambar fail: AFP/Romeo Gacad)

Bank didapati salur dana berbilion dolar kepada firma pembasmian hutan di Asia Tenggara

JAKARTA: Bank-bank memberi pembiayaan berbilion dolar kepada syarikat-syarikat yang bertanggungjawab atas penghapusan hutan-hutan hujan di Asia Tenggara.

Demikian menurut satu kajian yang dikeluarkan hari ini (6 Sep), yang menyeru para bank supaya berhenti "memburukkan lagi jenayah hutan."

Asia Tenggara menempatkan antara hutan hujan paling pelbagai di dunia, namun hutan-hutan hujan itu terancam sejak beberapa tahun lalu akibat peluasan industri-industri seperti kelapa sawit, pulpa dan kertas, getah dan kayu balak.

Kajian baru itu mendapati pinjaman-pinjaman komersil dan kemudahan penjaminan bernilai sekurang-kurangnya AS$38 bilion (S$52 bilion) disediakan kepada 50 syarikat dalam sektor-sektor itu antara 2010 hingga 2015, bagi operasi penghasilan atau pemprosesan.

Perangkaan itu diraih hasil satu alat kajian baru yang bertujuan memeriksa bagaimana firma-firma yang dikaitkan dengan pembasmian hutan dibiayai. Ia dibangunkan oleh Rangkaian Tindakan Hutan Hujan (RAN) yang berpangkalan di California, kumpulan masyarakat berpangkalan di Indonesia, Tuk Indonesia dan firma rundingan Belanda, Profundo.

"Kajian ini menggambarkan bahawa bank-bank terus tidak mengendahkan kesan dahsyat khidmat-khidmat kewangan mereka," kata pengarah kempen hutan dan kewangan RAN, Tom Picken.

"Hanya peraturan sektor kewangan yang diperketatkan mampu menetapkan piawai yang diperlukan untuk menyekat bank daripada memburukkan lagi jenayah hutan," tambahnya.

Kumpulan-kumpulan itu berharap alat tersebut akan menggariskan kesan pinjaman dan pembiayaan seperti itu terhadap hutan-hutan dan masyarakat tempatan, dan industri itu dapat mengenakan peraturan yang diwajibkan terhadap bank-bank dan para pelabur agar melakukan pemeriksaan sewajarnya sebelum meluluskan pinjaman.

"Kebakaran-kebakaran hutan dan tanah yang dahsyat pada 2015 serta kebakaran-kebakaran baru pada 2016 boleh dilihat sebagai salah satu kesan sedemikian, namun sejauh ini tidak ada di kalangan para pembiaya yang dipertanggungjawabkan atas peranan mereka membolehkan peluasan ladang," kata Rahmawati Retno Winarni, pengarah eksekutif Tuk Indonesia.

Indonesia dikecam oleh kumpulan-kumpulan hijau dan negara-negara jiran di Asia Tenggara kerana gagal menghentikan jerebu tahunan di rantau itu, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kebakaran yang dicetuskan untuk membersihkan hutan dan tanah secara murah untuk ladang-ladang mereka.

Polis Indonesia sudah menangkap 454 orang dalam kes-kes kebakaran hutan sejauh ini tahun ini, berbanding 196 pada 2015, apabila sebahagian besar rantau ini diselubungi jerebu, iaitu antara yang terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

- Reuters/nd

Komen Anda?

Top