Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir di Malaysia dijangka berterusan; 65,400 dipindahkan

Jumlah mangsa banjir di kebanyakan negeri yang terjejas terus meningkat dengan lebih 62,800 penduduk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Sabah dipindahkan sehingga tengah hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Dec 2014 05:55PM Dikemas Kini : 04 Jan 2015 07:45PM

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di beberapa negeri di pantai timur semenanjung Malaysia termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka berterusan tanpa sebarang tanda pemulihan segera, menjelang hujung minggu ini.

Jumlah penduduk yang dipindahkan terus meningkat kepada 65,419 petang ini, berbanding 62,836 orang tengah hari tadi.

Menurut beberapa laporan akhbar, keadaan itu telah disifatkan sebagai banjir terburuk yang pernah dialami sepanjang satu dekad di pantai timur.

Keadaan banjir di Kelantan. (Gambar: Channel NewsAsia/Sumisha Naidu)

Di Pahang, pihak bomba dan penyelamat menghantar empat buah bot pagi tadi untuk menyelamat 102 pelancong yang terperangkap di sebuah resot di Taman Negara Kuala Tahan, setelah paras air Sungai Tembeling naik mendadak. Pelancong-pelancong itu termasuk 20 rakyat tempatan, serta dari Jerman, Perancis, Kanada dan Republik Chech.

Kelantan pula menjadi negeri yang paling teruk dilanda banjir ketika ini, kerana keadaan hujan lebat yang berterusan dan limpahan air sungai yang disertai oleh keadaan air pasang tinggi di laut.

HANYA SATU LALUAN DARAT KE KELANTAN

Utusan Malaysia melaporkan hanya tinggal satu laluan darat ke Kelantan setakat ini, iaitu dari arah Terengganu melalui Pasir Puteh. Ini setelah keseluruhan 23 laluan di negeri itu ditutup kepada lalu lintas sejak banjir melanda 16 Disember lalu. Empat orang terkorban di sana sejauh ini ekoran banjir.

Keadaan banjir di Kelantan, Malaysia. (Gambar: Salbiah Jopri)

Namun, Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim menegaskan keadaan banjir di sana masih lagi terkawal, dan dakwaan kononnya negeri itu telah diisytiharkan darurat berikutan keadaan banjir adalah tidak benar. 

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan bercadang untuk menggunakan helikopter bagi membawa masuk bot penyelamat ke kawasan bencana banjir, terutama di kawasan yang arus banjirnya tersangat deras. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula menggunakan pesawat C-130 Hercules bagi penghantaran 50,000 liter bekalan air bersih ke Kelantan.

Pasukan bomba di Kelantan membantu mangsa banjir berpindah dari rumah mereka. (Gambar: Channel NewsAsia/Sumisha Naidu)

Para pegawai kesihatan pula membimbangkan penularan penyakit yang dibawa air bah. Para penduduk diberi amaran agar elak daripada menyentuh air kotor.

Encik Mat Zali Mamat, penduduk Kampung Wakaf Stan di Kelantan, berkata: "Bila air seperti ini, ada macam-macam penyakit. Pernah ada penyakit taun, malaria."

Seorang penghuni Kota Bharu, Encik Zakaria Daud, 56 tahun, hanya mampu tergamam menyaksikan rumah dan restorannya di Kampung Kundur dihanyutkan arus banjir ke arah Sungai Galas. "Semuanya berlaku begitu pantas. Kami hanya mampu melihat dari jauh sehinggalah semuanya hanyut ke sungai," katanya.

Di Terengganu pula, hanya beberapa kawasan luar bandar sahaja yang terjejas, sementara jalan darat di sekitar Kuala Terengganu masih boleh dilalui semua kenderaan.

AGENSI PELANCONGAN SINGAPURA TIDAK TERJEJAS

Dalam pada itu, kebanyakan agensi pelancongan dari Singapura yang dihubungi BERITAMediaCorp mengatakan mereka memang tidak membawa pelancong ke negeri-negeri pantai timur kerana telah menjangkakan keadaan banjir. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan di laman Twitter pula berkata kerajaan akan memastikan beban mangsa banjir diringankan dan bantuan sampai kepada mangsa yang memerlukan. 

Sumber : Bernama/BERITAMediaCorp/nd/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan