Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Awas sindiket penipuan 'wakaf al-Quran'

Kerajaan negeri Terengganu berjaya mengesan kewujudan sindiket yang berselindung di sebalik program 'wakaf al-Quran' untuk mengambil wang daripada orang ramai di negeri itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Awas sindiket penipuan 'wakaf al-Quran'

Gambar hiasan seseorang yang sedang mengaji. (Gambar: RIZWAN TABASSUM / AFP)

Diterbitkan : 16 Nov 2017 07:01PM Dikemas Kini : 16 Nov 2017 07:15PM

TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu berjaya mengesan kewujudan sindiket yang berselindung di sebalik program 'wakaf al-Quran' untuk mengambil wang daripada orang ramai di negeri itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia Tugas-Tugas negeri Ghazali Taib berkata ketika ini, siasatan masih dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. 

"Sindiket ini juga menggunakan nama madrasah dan pusat tahfiz untuk memperdaya orang ramai supaya berwakaf al-Quran dalam bentuk wang tunai dengan mereka.

"Bagaimanapun, sindiket ini mula memperlahankan aktiviti mereka setelah menyedari siasatan dijalankan setelah pihak berkuasa agama menerima laporan daripada orang ramai mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian majlis khatam pintar al-Quran kanak-kanak tadika peringkat daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus hari ini (16 Nov).

Encik Ghazali berkata bahawa lumrahnya, sindiket itu mencari 'mangsa' di tempat tumpuan awam seperti di pusat beli-belah dan bank.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata kerajaan negeri tidak pernah melarang mana-mana pihak untuk melakukan program wakaf al-Quran di negeri itu namun mereka perlu mendaftar dan mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

"Selepas enakmen wakaf diluluskan kerajaan negeri, mana-mana pihak yang mahu melakukan program ini perlu mendapat kebenaran MAIDAM dan mengikut segala peraturan yang sudah ditetapkan agar tidak timbul sebarang permasalahan di kemudian hari. 

"Sehubungan itu, saya berharap orang ramai juga lebih berhati-hati dan hanya melakukan wakaf al-Quran dengan pihak yang berdaftar dan mendapat kelulusan MAIDAM sahaja," katanya.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan