Images
  • ASEAN HK
    Gambar fail Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam (kiri) bersama Presiden China Xi Jinping. (Gambar: AFP/ APEC 2017 National Committee)

ASEAN, Hong Kong tandatangani perjanjian dagangan, pelaburan bebas

MANILA: Hong Kong hari ini (12 Nov) menandatangani perjanjian perdagangan dan pelaburan bebas dengan 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Perjanjian itu disifatkan oleh salah seorang pegawai kanan wilayah China itu sebagai sokongan "kuat dan jelas" menentang perlindungan perdagangan serantau yang kian meningkat.

Perjanjian itu memuktamadkan rundingan selama hampir tiga tahun dan dijangka berkuat kuasa pada 1 Januari. Menurut Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Hong Kong, Edward Yau ia bertujuan untuk menyepadukan akses pasaran dengan lebih "mendalam dan berani".

"Sedang sentimen terhadap amalan perlindungan perdagangan kian meningkat di negara-negara lain di dunia, kedua-dua perjanjian itu menunjukkan sokongan kuat dan jelas daripada kita semua di sini bagi perdagangan lebih bebas dan terbuka," kata Encik Yau.

"Hong Kong, sebagai penyokong dagangan bebas dan sistem dagangan berbilang pihak yang berasaskan undang-undang, akan terus mengambil laluan ini dan terus melakukan yang terbaik."

Jumlah dagangan barangan antara Hong Kong dengan ASEAN bernilai HK$833 bilion (US$107 bilion) pada tahun lalu, menurut perangkaan rasmi.

Manakala dagangan perkhidmatan pula bernilai HK$121 bilion (US$16 bilion) pada 2015.

Perjanjian Dagangan Bebas ASEAN Hong Kong China (AHKCFTA) ditandatangani di luar Sidang Puncak ASEAN yang diadakan di Manila, Filipina.

Ia dicapai selepas para pemimpin yang menghadiri Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasiffik (APEC) di Vietnam bersetuju untuk menangani "amalan-amalan perdagangan yang tidak adil" dan "sudsidi yang memutarbelitkan pasaran" dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam (11 Nov). Kenyataan itu juga tertera usaha Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk membentuk semula landskap perdagangan global.

Sidang Puncak itu menawarkan perbandingan antara visi Encik Trump iaitu dasar "Amerika Terlebih Dahulu" dan persetujuan yang memihak kepada perjanjian berbilang negara yang diterajui China sekarang.

Meskipun Hong Kong sudah mempunyai salah satu ekonomi paling bebas dan terbuka di dunia, pakatan itu akan menyaksikan lebih banyak negara ASEAN secara bertahap-tahap menghapuskan atau mengurangkan cukai kastam ke atas barangan dari bekas jajahan Britain itu yang kembali ke pentadbiran China pada 1997.

Khidmat-khidmat profesional juga dijangka meraih manfaat, dengan lebih banyak pelaburan, tambah Encik Yau. 

- Reuters/NK/nk

Komen Anda?

Top