Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Arab Saudi akan tambah jumlah biasiswa pelajar M'sia tahun depan

Kerajaan Arab Saudi akan meningkatkan jumlah pemberian biasiswa penuh bagi pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di negara itu pada tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi akan tambah jumlah biasiswa pelajar M'sia tahun depan

Majlis ramah mesra editor kanan media Malaysia dan media Arab Saudi di Pusat Kebudayaan Arab Saudi. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 27 Feb 2017 03:08PM Dikemas Kini : 27 Feb 2017 03:13PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi akan meningkatkan jumlah pemberian biasiswa penuh bagi pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di negara itu pada tahun depan.

Ketua Perwakilan Kebudayaan di Kedutaan Diraja Arab Saudi di sini, Dr Zayed Al-Harirthi berkata, buat masa ini, lebih 100 pelajar Malaysia sedang menuntut di negara itu.

Menurutnya, keputusan menambah jumlah biasiswa adalah berdasarkan lebih 300 permohonan diterima daripada pelajar Malaysia tahun lepas.

"Hanya terdapat 100 biasiswa untuk pelajar Malaysia mengikuti pengajian di Universiti Islam Imam Mohamed bin Saud di Riyadh, tahun lepas.

"Kami ada banyak lagi universiti di Arab Saudi dan akan menawarkan lebih banyak biasiswa untuk pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di universiti-universiti lain," katanya kepada para wartawan Malaysia dan Arab Saudi malam semalam.

Katanya, kecuali jurusan perubatan, biasiswa tersebut meliputi pengajian peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) untuk semua jurusan lain.

Selain pembiayaan kos pengajian, penerima biasiswa itu bagi calon sarjana muda diberi SAR1,700 (S$637) semasa tiba di negara itu dan SAR1,800 (S$675) untuk calon siswazah.

Penerima biasiswa itu akan menerima elaun bulanan, perumahan percuma, insurans perubatan dan kemungkinan visa untuk ahli keluarga pelajar cemerlang.
Majlis anjuran pejabat pewakilan kebudayaan Arab Saudi itu, diadakan sempena lawatan sulung Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud selama empat hari ke Malaysia, yang bermula semalam.

Sementara itu, Profesor Dr Saad Ali dari Universiti Ummul Qura' di Makkah, berkata hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi dalam bidang pendidikan berkembang pesat dengan lebih banyak Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai.

Menurutnya, kini terdapat lebih 1,500 pelajar Arab Saudi sedang melanjutkan pengajian di Malaysia, sambil menyatakan suasana persekitaran sama antara kedua-dua negara itu merupakan antara faktor yang menarik pelajar negara itu ke Malaysia. 

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan