Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka korban gempa Aceh kini melepasi 100 orang; 14 masjid turut mengalami kerosakan

Angka korban akibat gempa bumi kuat yang melanda Aceh di Sumatera, Indonesia meningkat kepada 102 orang, kata pihak berkuasa hari ini (8 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Dec 2016 03:02PM Dikemas Kini : 08 Dec 2016 09:58PM

JAKARTA: Angka korban akibat gempa bumi kuat yang melanda Aceh di Sumatera, Indonesia meningkat kepada 102 orang, kata pihak berkuasa hari ini (8 Dis).

Gempa sekuat 6.5 magnitud melanda wilayah itu pagi semalam, menyebabkan banyak bangunan dan rumah di daerah Pidie Jaya roboh. 85 daripada 102 mangsa sudah dikenal pasti, menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) dalam satu sidang media.

Ia turut mendedahkan bahawa 14 masjid mengalami kerosakan akibat bencana alam itu.

Agensi tersebut menambah ia belum meminta bantuan antarabangsa untuk membantu usaha menyelamat kerana keadaan itu masih boleh ditangani di peringkat nasional - sambil menambah bahawa terdapat keperluan yang mendesak bagi bekalan makanan, pakaian kanak-kanak dan ubat-ubatan.

BASARNAS menyatakan operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sepanjang "tempoh penting" ini, iaitu selama tujuh hari - tempoh genting untuk menarik keluar orang yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Lebih 1,000 askar dan sekitar 900 pegawai polis dikerahkan ke kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas untuk membangunkan tempat perlindungan sementara, kata seorang pegawai tempatan.

"Bekalan elektrik masih terputus. Beberapa tempat sudah dipasang dengan mesin penjana kuasa, tetapi banyak lagi tempat yang memerlukannya," kata ketua agensi bencana tempatan Puteh Manaf kepada AFP.

"Jika hujan, kami khuatir penyakit akan menular." 

Sumber : CNA/Agensi berita/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan