Images
  • malaysia police
    Gambar fail logo Polis Diraja Malaysia. (Gambar: AFP/Saeed Khan)

Anggota polis Johor diberkas disyaki terima wang rasuah dari guru agama

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang koperal polis di Kulai malam Rabu (6 Dis) kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang guru agama.

Menurut sumber, suspek berusia 49 tahun itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulai dan dia ditahan di sebuah bengkel membaiki kereta sekitar 9.30 malam tadi bagi membantu siasatan.

Suspek disyaki menerima wang rasuah sebanyak RM3,000 (S$990) daripada guru agama terbabit sebagai dorongan menyelesaikan siasatan satu kes dadah membabitkan dirinya yang sedang dijalankan oleh Bahagian Narkotik IPD Kulai, Johor.

Menyusuli tangkapan itu, pasukan penyiasat SPRM melakukan penggeledahan di dua lokasi berbeza di Johor dan menyita akaun bank serta beberapa dokumen berkaitan kes.

Kes tersebut disiasat mengikut SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 (S$3,300) mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor Dato Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek direman seminggu bermula hari ini hingga 13 Disember berikutan perintah yang dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Cik Faridatul Farrah Mohd Shukri.

- BERNAMA/IM/im

Komen Anda?

Top