Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anda suka makan kacang? Kacang boleh kurangkan bahaya penyakit jantung

Satu kajian terbaru menunjukkan makan kacang dua kali seminggu boleh mengurangkan bahaya penyakit jantung. 

Anggaran Waktu Membaca:
Anda suka makan kacang? Kacang boleh kurangkan bahaya penyakit jantung

Snapmax party mix - mixed peas and peanuts (150g). (Gambar: AVA)

Diterbitkan : 16 Nov 2017 07:57PM Dikemas Kini : 16 Nov 2017 08:16PM

 Satu kajian melibatkan sekitar 200,000 orang – kebanyakan daripada mereka dipantau kesihatan mereka sepanjang tiga dekad – mendapati bahwa  makan kacang boleh mengurangkan bahaya penyakit jantung iaitu penyakit punca kematian utama di seluruh dunia.

Kajian itu mendapati dengan memakan kacang walnut, hazel, badam, gajus, pistasio dan kacang tanah boleh memberikan kesan dramatik dalam mencegah penyakit jantung dibandingkan mereka yang jarang atau tidak pernah memakannya.

Mereka yang memakannya dua atau tiga kali seminggu boleh mendapati risiko menghadapi penyakit jantung berkurangan antara 15 hingga 23 peratus.

Menurut ketua pengkaji penyelidikan itu Dr Marta Guash-Free dari Universiti Harvard, memakan kacang walnut sebanyak sekali atau tiga kali seminggu boleh mengurangkan bahaya penyakit jantung sebanyak 20 peratus.

Kacang memang telah lama dikenali sebagai sejenis ‘superfood’ yang kaya dengan bahan antioksidan, protein, nutrien, serat dan galian.

Kajian terbaru itu yang diterbitkan dalam Journal of the American College of Cardiology adalah yang terbaru dan terbesar dijalankan untuk meninjau kaitan memakan kacang dengan risiko penyakit jantung.

Selain boleh mengurangkan bahaya penyakit jantung kacang juga boleh melindungi kita daripada pelbagai penyakit serius yang lain termasuk barah, kencing manis, masalah pernafasan dan demensia.

Dr Guash-Ferre berkata: “Dapatan kami menyokong saranan-saranan supaya kita meningkatkan jumlah kacang yang dimakan sebagai sebahagian diet pemakanan sihat, demi mengurangkan risiko penyakit kronik di dalam masyarakat.”

Kajian yang meluas itu menunjukkan dapatan yang konsisten antara kaitan jumlah kacang yang dimakan dengan penyakit jantung.

Mereka yang memakan antara lima atau lebih hidangan kacang seminggu mempunyai risiko penyakit jantung  sebanyak 14% hingga 20%  lebih rendah daripada mereka yang tidak memakannya pada kadar tersebut.

Memakan kacang tanah dan walnut juga didapati boleh mengurangkan bahaya serangan angin ahmar.

Menurut para pengkaji itu saranan-saranan terbaru dalam pemakanan sihat turut memberatkan peralihan kepada jumlah pemakanan kacang yang bertambah.

Ini kerana kacang mengandungi khasiat yang unik dalam mengurangkan faktor-faktor bahaya penyakit jantung.

Kacang tanah juga disertakan dalam saranan diet itu kerana ia juga mempunyai profil yang sama dalam kandungan asid lemak dan nutrien. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan