Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anak Sultan Johor, Tunku Tun Aminah, bakal langsung perkahwinan 14 Ogos ini

Anakanda Sultan Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bakal melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Dennis Muhammad Abdullah, 14 Ogos ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Anak Sultan Johor, Tunku Tun Aminah, bakal langsung perkahwinan 14 Ogos ini

Anak Sultan Johor, Tunku Tun Aminah. (Gambar: Petikan skrin dari Youtube/ Official Sultan Ibrahim)

Diterbitkan : 16 Jul 2017 03:39PM Dikemas Kini : 16 Jul 2017 05:19PM

JOHOR BAHRU: Anakanda Sultan Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bakal melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Dennis Muhammad Abdullah, 14 Ogos ini.

Jejaka yang berjaya mencuri hati Tunku Tun Aminah itu juga bekerja sebagai Pengurus Pemasaran Kelab Bola Sepak Tampines Rovers di Singapura setelah berkhidmat dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sebagai Pengurus JDT Concept Store and Café.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata istiadat perkahwinan pasangan pengantin diraja akan dilaksanakan dengan penuh adat istiadat Melayu dan budaya Istana Johor.

"Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan dan merestui perkahwinan paduka anakanda Tunku Tun Aminah dengan Dennis Muhammad Abdullah,” katanya yang mengumumkan istiadat perkahwinan berkenaan kepada pemberita hari ini (16 Jul).

Datuk Abdul Rahim berkata Istiadat Meletak Kerja dengan menaikkan bendera istiadat kerajaan akan diadakan pada 8 Ogos ini bagi menandakan permulaan istiadat perkahwinan diraja.

Beliau berkata majlis tahlil dan doa kesyukuran akan diadakan pada 6.30 petang, 10 Ogos di Masjid Pasir Pelangi bagi memohon restu Allah SWT terhadap perkahwinan berkenaan.

“Istiadat pertunangan pula akan diadakan pada 10.00 pagi, 14 Ogos, di Istana Bukit Serene, di sini, diikuti istiadat nikah dengan Sultan Ibrahim berkenan mewakilkan Mufti Johor Datuk Muhammad Tahrir Shamsudin sebagai wali.

“Istiadat persandingan pasangan pengantin diraja akan diadakan di Bilik Singgahsana Istana Besar, di sini, pada 8.00 malam, hari yang sama (14 Ogos),” katanya dan menambah istiadat tersebut berlangsung secara tertutup.

Menurut Datuk Abdul Rahim, majlis bersiram pula akan diadakan keesokan hari (15 Ogos) di Bandstand Bukit Bintang, Taman Botani Diraja Istana Besar dan pasangan pengantin akan menziarah Makam Diraja Mahmoodiah pada 16 Ogos.

Datuk Abdul Rahim berkata Tunku Tun Aminah yang merupakan puteri tunggal daripada enam adik-beradik diputerikan pada 8 April 1986 di Hospital Sultanah Aminah di sini dan diperkenan oleh Almarhum Sultan Iskandar dengan nama Tunku Aminah Maimunah Iskandariah.

Beliau berkata Tunku Tun Aminah mendapat pendidikan asas dan rendah di Hilltop Kindergarten, Sekolah Convent serta Sekolah Seri Utama sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Australia International School di Singapura dan seterusnya di La Salle School of Fashion and Design, juga di Singapura.

Katanya, Tunku Tun Aminah yang dikurniakan gelaran tradisi ‘Tun’ oleh Sultan Ibrahim pada 2012, melibatkan diri dalam sukan lasak seperti menunggang kuda, joging dan mendaki selain dilantik sebagai Presiden Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), tahun lalu.

Tunku Tun Aminah juga terlibat dengan kerja amal termasuk menghulur bantuan kepada mangsa banjir dan merupakan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Johor serta penaung Johor Bahru International Festival City dan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Johor Bahru.

Sementara itu, Datuk Abdul Rahim berkata Dennis Muhammad atau nama asalnya Dennis Verbaas pula dilahirkan pada 1 Mei 1989 di Lisse, sebuah bandar berdekatan Amsterdam, Belanda dan merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Beliau berkata anak pasangan Martin dan Henriette Varbaas, yang gemar bermain bola sepak, menerima pendidikan di Kolej Floretti di Belanda dan kemudian meneruskan pelajaran vokasional dalam bidang kejuruteraan mekanikal di ROC Leiden, Belanda.

Menurut Datuk Abdul Rahim, Dennis Muhammad memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru dan dipimpin oleh pegawai agama bagi mempelajari Islam termasuk solat, berpuasa Ramadan, pengajian al-Quran, akhlak dan tulisan jawi selain dididik dalam Bahasa Melayu, budaya, etika serta protokol istana.

“Mulai tahun ini, Dennis Muhammad diasuh dan dipimpin oleh keluarga angkat yang diperkenan tuanku. Jadual pelajaran agama ditambah dan prestasi beliau sentiasa dipantau oleh panel guru dan pendidik Jabatan Agama sehingga mencapai taraf yang diperkenankan. Dennis Muhammad lulus cemerlang dalam ujian tulisan, lisan dan praktikal,” kata Datuk Abdul Rahim.

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan