Images
  • cave lion
    (Gambar: Facebook/ Paleontology)

Anak singa yang membeku 50,000 tahun ditemui

SIBERIA: Bangkai seekor anak singa gua ditemui membeku di Siberia. Dalam posisi tidur, anak singa itu dikatakan 'tidur' di ibun abadi (permafrost) sejak 50,000 tahun lalu.

Bangkai haiwan kecil itu masih sangat terpelihara sehingga wajahnya dan jari-jari kakinya masih utuh lagi. Dalam laporan Science Alert, penemuan ini juga dikatakan mencetus perbincangan tentang pengklonan spesis yang sudah lama pupus itu.

Seorang warga tempatan, Boris Berezhnov, menemukan bangkai ini di tebing Sungai Tirekhtykh di daerah Abyisky, Yakutia. Para saintis mendedahkan penemuan itu di Yakutsk pada 8 November lalu.

Mereka tidak dapat memberi kepastian tentang bagaimana anak singa itu mati, tetapi ia dijangkakan berusia sekitar dua bulan ketika ia mati antara 20,000 hingga 50,000 tahun lalu - lewat Pleistosen (zaman air batu) yang berlangsung 11,700 tahun lalu. Pada masa ini jugalah singa gua mulai pupus.

'Bangkai anak singa ini masih sempurna lagi, dengan semua anggota badannya masih terpelihara. Tiada kesan luka juga yang ditemukan di kulitnya," kata Encik Albert Protopopov, seorang ahli paleontologi dari Akademi Awam Sains Sakha.

Anak singa ini berukur hanya 45 sentimeter dengan berat 4 kilogram.


SUSU IBU MASIH ADA DALAM PERUT ANAK SINGA

Terpeliharanya bangkai ini dikaitkan dengan ibun abadi, lapisan tanah di bawah suhu 0°C. Ini bukan penemuan yang pertama di kawasan ibun abadi.

Pada 2015, bangkai sepasang anak singa gua yang berusia hanya beberapa minggu, ditemukan di ibun abadi di rantau yang sama, tetapi di tebing sungai yang berbeza, Uyandina.

Sepasang anak singa yang ditemukan itu diberi nama 'Uyan' dan 'Dina'. Uyan dan Dina belum cukup dewasa kerana mereka belum lagi mempunyai gigi. Kajian kemudian menunjukkan bangkai haiwan berkenaan berusia antara 25,000 hingga 55,000 tahun.

Lebih menarik lagi, imbasan CT menunjukkan bahawa masih ada susu ibu dalam salah satu perut anak singa yang ditemukan.

"Semua orang terperanjat ketika itu dan seolah -olah tidak percaya perkara seperti ini boleh terjadi. Dua tahun kemudian, satu lagi singa gua ditemukan di daerah Abyiski," tambah Encik Protopopov kepada agensi berita Science Alert.

PENGKLONAN MUNGKIN AKAN DIJALANKAN

Anak singa yang baru ditemukan itu belum diberikan nama. Penemuan kali ini juga tidak berkaitan dengan yang pertama seperti yang dilaporkan dalam laporan Science Alert.

Memandangkan anak singa yang baru ditemukan mempunyai gigi, umur sebenar anak singa ini boleh ditentukan dengan lebih mudah.

Apabila Uyan dan Dina ditemukan, saintis di seluruh dunia meluahkan hasrat mereka mengadakan projek untuk pengklonan singa gua dari sampel yang diambil. Penemuan baru ini memangkin lagi perbincangan mengenai kemungkinan itu.

Pengklonan bukan sesuatu yang tidak realistik - pada tahun 2008 para penyelidik mengklon tikus dari bangkai yang sudah membeku selama 16 tahun. 

- Agensi berita/AQ/aq

Komen Anda?

Top