Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahok: Saya rela ditangkap dan dipenjara jika bersalah

Setelah Jakarta menjadi 'kacau' selama sehari ekoran demonstrasi oleh ratusan ribu umat Islam bagi menentang Ahok, penyandang gabenor Jakarta itu kini muncul memberi kenyataan bahawa beliau sebenarnya difitnah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Nov 2016 03:41PM Dikemas Kini : 06 Nov 2016 10:22PM

JAKARTA: Setelah Jakarta menjadi 'kacau' selama sehari ekoran demonstrasi oleh ratusan ribu umat Islam bagi menentang Ahok, penyandang gabenor Jakarta itu kini muncul memberi kenyataan bahawa beliau sebenarnya difitnah.

"Kalau negara hancur kerana seorang (bernama) Ahok, saya rela ditangkap dan dipenjara tetapi saya tidak akan rela dipenjara kerana difitnah," kata Ahok sebagai reaksinya terhadap demonstrasi itu.

Ahok atau nama sebenarnya Basuki Tjahaja Purnama, yang akan mempertahankan jawatannya sebagai gabenor Jakarta pada Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) Februari 2017, dipetik sebagai berkata demikian oleh media-media tempatan hari ini (6 Nov).

UCAPAN "DISUNTING" HINGGA GAMBARKAN BELIAU PERTIKAI AYAT QURAN

Mengulas lanjut mengenai demonstrasi itu, Ahok berkata beliau difitnah apabila video ucapannya di Pulau Seribu pada bulan lepas disunting oleh orang tertentu bagi menggambarkan seolah-olah beliau mempertikaikan Surah Al Maidah ayat 51.

Katanya, beliau tidak bermaksud untuk menista atau menghina ayat suci Al-Quran dan meminta maaf kepada semua umat Islam jika kata-katanya itu disalah tafsir.

Ratusan ribu umat Islam menyertai demonstrasi kelamrin (4 Nov) sebagai membantah kenyataan Ahok yang disifatkan sebagai penista agama Islam apabila meminta mereka agar tidak terpedaya dengan pihak menggunakan surah Al-Maidah yang menyebut umat islam dilarang untuk memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin mereka.

Ahok berkata beliau akan menghadirkan diri di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Polis di Jakarta bagi memberi keterangan kali kedua.

Beliau sudahpun memberi keterangan polis pada dua minggu lepas.

KELUARGA AHOK SEDIA TERIMA APA JUA KEADAAN

Ahok berkata keluarganya bersedia menerima apa juga keadaan jika beliau ditangkap dan dipenjara kerana mereka memahami risiko jawatan yang beliau sedang pertahankan.

Beliau kini masih aktif menjalankan kempen bertemu pengundi tetapi tidak mahu menghebahkan jadual hariannya kepada media, malah pada hari demonstrasi itu, beliau dikatakan sempat menemui pengundi di sebuah kawasan rumah pangsa.

Polis juga mengenakan kawalan ketat di sekitar kawasan kediaman Ahok di sebuah kawasan elit di Jakarta Utara bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Republik Indonesia Tito Karnavian dalam sidang medianya semalam berkata siasatan terhadap kes Ahok akan dilakukan secara terbuka dan boleh disiarkan secara langsung oleh media massa bagi membolehkan rakyat mengekses semua butiran siasatan secara telus.

Katanya selain Ahok, polis akan memanggil beberapa saksi termasuk golongan ulama dan pakar bahasa untuk memberi pandangan mengenai konteks petikan ayat Al Quran yang disebut oleh Ahok.

Demonstrasi yang bermula selepas solat Jumaat itu berakhir dengan kekacauan pada sebelah malam apabila sebahagian pesertanya enggan bersurai dan cuba menghampiri Istana Kepresidenan.

Polis terpaksa melepaskan tembakan dengan menggunakan meriam air dan peserta perhimpunan itu pula membalasnya dengan melontar pelbagai objek termasuk batu dan kayu serta membakar dua trak milik pasukan keselamatan. 

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan