Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

99% yakin ketua ISIS, Abu Bakar Baghdadi belum mati

Seorang pegawai tinggi antipengganasan dari puak Kurdi hari ini (17 Jul) berkata, beliau 99 peratus yakin bahawa ketua ISIS, Abu Bakar Baghdadi, masih lagi hidup. Beliau malah percaya bahawa Baghdadi kini berada di bandar Raqqa, yang terletak di selatan Iraq.

Anggaran Waktu Membaca:
99% yakin ketua ISIS, Abu Bakar Baghdadi belum mati

Ketua ISIS, Abu Bakar Baghdadi, dipercayai kini berada di bandar Raqqa, yang terletak di selatan Iraq. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 17 Jul 2017 08:25PM Dikemas Kini : 17 Jul 2017 08:30PM

SULAIMANIYA, IRAQ: Seorang pegawai tinggi antipengganasan dari puak Kurdi hari ini (17 Jul) berkata, beliau 99 peratus yakin bahawa ketua ISIS, Abu Bakar Baghdadi, masih lagi hidup. Beliau malah percaya bahawa Baghdadi kini berada di bandar Raqqa, yang terletak di selatan Iraq.

Sebelum ini banyak laporan menyebut bahawa pemimpin ISIS itu sudah mati.

"Baghdadi sememangnya masih hidup. Dia belum mati. Kami ada maklumat bahawa dia masih hidup. Kami percaya 99 peratus bahawa dia masih hidup," menurut Lahur Talabany dalam wawancara eksklusif dengan Reuters.

"Jangan lupa, akarnya (Baghdadi) datang dari zaman Al Qaeda di Iraq. Dia bersembunyi dari pasukan keselamatan. Dia tahu apa yang dilakukannya," tambah Encik Talabany lagi.

ABU BAKAR BAGHDADI MUSUH YANG LICIK, BUKAN CALANG-CALANG

Pemimpin ISIS yang sentiasa menyembunyikan diri itu sudah banyak kali dilaporkan mati terbunuh atau cedera, sejak dia mengisytiharkan dirinya sebagai seorang khalifah umat Islam, di sebuah masjid Mosul pada 2014.

Selepas berjaya menawan kawasan-kawasan di utara Iraq, Baghdadi juga cuba menubuhkan sebuah khilafah yang boleh berdikari yang merangkumi sebahagian Iraq dan Syria. Bagaimanapun kebanyakan wilayahnya kini sudahpun berjaya dirampas kembali oleh pemerintah kedua-dua negara itu.

Kini Baghdadi sedang melarikan diri. Encik Talabany menyifatkan Baghdadi sebagai seorang musuh yang licik. Pemimpin puak Kurdi itu merupakan antara tokoh yang memimpin perikatan antarabangsa untuk memerangi dan menjejaki pemimpin ISIS itu.

"Dia (Baghdadi) bukan calang-calang. Dia ada banyak pengalaman bersembunyi dan melarikan diri daripada agensi-agensi keselamatan," kata Encik Talabany.

BELUM LAGI PENGHUJUNGNYA BAGI ISIS YANG SEDANG UBAH TAKTIK

"Wilayah yang mereka (ISIS) kawal sekarang sehingga sekarang, masih kawasan yang sangat sukar. Masih belum lagi penghujungnya bagi ISIS, walaupun mereka sudah kehilangan hampir semua daerah Mosul dan akan kehilangan Raqqa juga," kongsi Encik Talabany.

Beliau menambah, ISIS kini sedang mengubah taktik walaupun semangat anggotanya terjejas teruk. Namun demikian tambah beliau, masa tiga atau empat tahun diperlukan untuk memusnahkan kumpulan ISIS.

Ini kerana kumpulan itu dijangka berpindah ke kawasan pergunungan dan padang pasir untuk melancarkan serangan-serangan hendap dan pengebom-pengebom bunuh diri.

"Mereka sedang bersiap siaga untuk pertempuran yang berbeza saya rasa. Kami ada banyak lagi kesukaran pada hari-hari mendatang, daripada yang disangka orang lain.

"Kami nampak bahawa mereka (ISIS) lebih bijak. Al Qaeda tidak pernah mengawal sebarang wilayah," ujar Encik Talabany.

SUKAR TAHU SIAPA DI KALANGAN 'PANGLIMA' BAGHDADI YANG MASIH HIDUP ATAU SUDAH MATI

Sebelum ini, pelbagai laporan yang mencadangkan bahawa Baghdadi sudah mati, menimbulkan persoalan tentang siapa yang akan menggantikan beliau. ISIS dianggotai oleh kumpulan yang berbeza-beza dari Iraq dan negara Arab lain, selain pejuang-pejuang tegar.

Para pegawai risik Iraq yang pernah berkhidmat di bawah Saddam Hussein dikatakan sebagai pakar strategi tentera yang berperanan penting mewujudkan 'pemerintahan' ISIS.

Encik Talabany berkata, buat masa ini sukar untuk mengetahui, siapa di kalangan pegawai Baghdadi yang masih hidup ataupun yang sudah terkorban.

Namun beliau percaya, kebanyakan daripada mereka kini berada di selatan Raqqa di Syria. 

Sumber : Today/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan