Images
  • Syria 1411
    Suasana di utara Syria selepas serangan udara. (Gambar: Zein Al Rifai/ AFP)

53 terkorban dalam serangan udara di utara Syria

BEIRUT: Serangan udara ke atas sebuah pasar mengorbankan sekurang-kurangnya 53 orang, termasuk kanak-kanak, di sebuah bandar di utara Syria semalam (13 Nov). Ini berlaku meskipun terdapat "zon selamat" di kawasan itu, kata seorang pemerhati.

Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di Britain menyatakan bahawa ia belum dapat mengesahkan jika serangan terhadap Atareb dilancarkan melalui jet pejuang Syria atau sekutu Damsyik, Rusia.

Menurut pemantauan kumpulan itu, tiga serangan dilancarkan ke atas pasar bandar itu, dengan lima kanak-kanak dan tiga anggota polis terkorban.

Seorang jurugambar AFP merakam kerosakan besar-besaran di tempat kejadian - banyak bangunan runtuh dan orang awam kelihatan panik. Meskipun begitu, ramai kelihatan membantu mereka yang cedera.

Atareb terletak di sebelah barat wilayah Aleppo, di kawasan yang merupakan "zon selamat" yang dipersetujui di bawah perjanjian antara sekutu Syria, Rusia dan Iran, bersama Turki, awal tahun ini.

Zon ini kebanyakannya meliputi wilayah jiran Idlib, yang sebahagian besarnya dikuasai kumpulan pembangkang dan kumpulan tegar yang sebelumnya bergabung dengan Al-Qaeda.

Walaupun pemerintah menawan kembali Aleppo lewat tahun lepas, pengaruh kumpulan pemberontak masih boleh dirasai di barat wilayah itu.

Rusia, sekutu utama Presiden Syria Bashar al-Assad, memulakan kempen pengeboman untuk menyokong pemerintahannya pada tahun 2015.

Sejak itu, dengan sokongan Moscow, pemerintah Syria berjaya menawan semula sebahagian besar wilayah tersebut dari kumpulan pemberontak.

Moscow kemudian mengarahkan proses 'Astana' Mei lalu untuk mewujudkan empat "zon selamat" di seluruh Syria.

Zon seperti ini berhasil mengurangkan keganasan, tetapi pertempuran dan pengeboman kadang kala masih berlaku dan akses bantuan kemanusiaan yang dijanjikan belum lagi terlaksana.

Lebih 330,000 orang terbunuh di Syria sejak konflik tercetus pada Mac 2011 dalam bantahan anti-pemerintah. 

- AFP/AQ/aq

Komen Anda?

Top