Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

5 individu ditahan kerana menjadi 'ulat tiket' bagi perjalanan JB-S'pura

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menahan lima individu termasuk seorang warga emas yang dipercayai menjual tiket perkhidmatan kereta api dari Johor Bahru ke Singapura di JB Sentral.

Anggaran Waktu Membaca:
5 individu ditahan kerana menjadi 'ulat tiket' bagi perjalanan JB-S'pura

(Gambar: KTM Berhad/ Facebook)

Diterbitkan : 29 Mar 2017 05:34PM Dikemas Kini : 29 Mar 2017 05:42PM

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menahan lima individu termasuk seorang warga emas yang dipercayai menjual tiket perkhidmatan kereta api dari Johor Bahru ke Singapura di JB Sentral.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa SPAD Wilayah Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata kesemua 'ulat tiket' berusia antara 22 dan 72 tahun itu ditahan ketika sedang menjual tiket kereta api pada waktu sibuk berharga RM7 (S$2.20) hingga RM12 (S$3.80) berbanding harga asal RM5 (S$1.60).

"Modus operandi mereka ialah membeli tiket secara dalam talian atau di kaunter, maksimum pembelian secara dalam talian adalah enam tiket manakala kaunter empat tiket. Mereka akan membeli tiket sebanyak mungkin pada waktu sibuk iaitu pada 5.00 hingga 9.00 pagi setiap hari," katanya hari ini (29 Mac).

Che Hasni berkata disebabkan perbuatan tersebut, tiket kereta api cepat kehabisan sehingga menyebabkan individu yang bekerja di Singapura terpaksa membeli tiket menerusi 'ulat tiket' yang ada pada harga tinggi.

Beliau berkata kelima-lima individu tersebut ditahan pada 5.30 pagi tadi selepas SPAD memulakan operasi mengesan mereka melibatkan 25 anggota suruhanjaya berkenaan, sejam sebelum itu.

Che Hasni berkata kegiatan kesemua mereka mula dikesan sejak Oktober lalu berdasarkan aduan orang awam mengenai kegiatan tersebut.

"Sehingga hari ini, SPAD sudah menerima 14 aduan berhubung kegiatan ulat tiket di JB Sentral," katanya.

SPAD katanya, turut melakukan pemantauan dan risikan di JB Sentral selama 10 hari sebelum melakukan operasi pada hari ini.

Beliau berkata operasi hari ini merupakan yang pertama melibatkan 'ulat tiket' kereta api dan hasil siasatan SPAD juga mendapati kesemua mereka ini bergerak secara individu dan tidak melibatkan mana-mana sindiket.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 (S$15,800) atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan