Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

41 suspek militan diberkas sejak serangan bom kembar Jakarta

Polis Indonesia mengumumkan pihaknya memberkas 41 suspek militan menyusuli serangan bom kembar di ibu kota negara itu pada bulan lalu yang mengorbankan tiga pegawai polis.

Anggaran Waktu Membaca:
41 suspek militan diberkas sejak serangan bom kembar Jakarta

Gambar hiasan. (Gambar: BERITAMediacorp)

Diterbitkan : 23 Jun 2017 11:05AM Dikemas Kini : 23 Jun 2017 11:08AM

JAKARTA: Polis Indonesia mengumumkan pihaknya memberkas 41 suspek militan menyusuli serangan bom kembar di ibu kota negara itu pada bulan lalu yang mengorbankan tiga pegawai polis.

Sembilan daripada mereka yang diberkas semalam (22 Jun) dinamakan sebagai suspek yang ada kaitan dengan serangan pada 24 Mei lalu yang menyasarkan polis, yang juga menyebabkan lagi enam pegawai polis dan lima orang awam cedera, menurut seorang jurucakap polis negara Indonesia, Mejar Jeneral Setyo Wasisto.

Lagi lima individu yang diberkas, termasuk para isteri pengebom nekad, dibebaskan kerana kurang bukti.

Baki tahanan termasuk mereka yang diburu atas kesalahan-kesalahan berkaitan pengganasan, menurut jurucakap itu lagi.

Mejar Jeneral Wasisto berkata militan-militan itu ditangkap di Jakarta, di wilayah kejiranan Jawa Barat dan Banten serta Jawa Tengah dan Jawa Timur, pulau Sumatera dan Nusatenggara Barat.

Beliau menambah operasi bersama oleh polis dan skuad anti-pengganasan itu juga bertujuan melindungi sambutan Hari Raya pada minggu depan.

Polis sudah mengenal pasti para pengebom nekad, yang terlibat dalam insiden pada bulan Mei lalu, dan sembilan suspek yang lain sebagai anggota Jemaah Ansharut Daulah, iaitu rangkaian kumpulan pelampau Indonesia yang ditubuhkan pada tahun 2015.

Kumpulan itu mengikrarkan setia kepada pemimpin ISIS, Abu Bakr Baghdadi.

Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam mengambil tindakan keras memburu dan menangkap militan sejak insiden pengeboman di Bali pada tahun 2002, yang mengorbankan 202 orang.

Pihak berkuasa percaya ISIS mempunyai ribuan penyokong di Indonesia. Ketua tentera Jeneral Gatot Nurmayanto pada minggu lalu berkata terdapat kumpulan-kumpulan rahsia ISIS di kepulauan Indonesia, kecuali di wilayah Papua yang sebahagian besar penduduknya beragama Kristian.

Ratusan rakyat Indonesia – lelaki, wanita dan kanak-kanak – juga dikatakan sudah ke Syria sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pihak berkuasa percaya sekitar 400 rakyat negara itu sudahpun menyertai ISIS.

Dalam pada itu puluhan rakyat Indonesia juga sudah pulang ke tanah air.

Para penggubal undang-undang Indonesia pada Rabu lalu (21 Jun) berkata pemerintah akan meluluskan undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa memenjarakan rakyatnya sehingga 15 tahun setelah mereka pulang ke tanah air selepas menyertai kumpulan-kumpulan militan di luar negara.

Undang-undang keselamatan yang diperketat itu adalah sebahagian daripada semakan semula yang dibuat Presiden Joko Widodo untuk menangani ancaman pengganasan.

Perubahan-perubahan itu akan meluaskan definisi pengganasan dan memberikan lebih banyak kuasa kepada pihak polis untuk menahan suspek dalam tempoh yang lebih lama tanpa dibicarakan.

Polis juga akan diberi kuasa untuk menangkap individu-individu yang menyebarkan kata-kata kebencian atau bahan-bahan radikal serta yang menyertai latihan separa tentera atau menyertai kumpulan-kumpulan yang sudah diharamkan.

Semalam (22 Jun) para pegawai kanan keselamatan Filipina, Malaysia dan Indonesia berhimpun di Manila dan berkata mereka akan bekerjasama untuk membendung kemasukan para militan, senjata, dana dan propaganda pelampau di sempadan masing-masing.

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan