Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

40 jemaah Indonesia dihalang dari lakukan perjalanan ke Makkah

Pejabat imigresen Indonesia pada Khamis (10 Ogos) menyatakan pihaknya menghalang keberangkatan haram 40 jemaah ke Makkah, lapor Agensi Anadolu (AA) di Turki.

Anggaran Waktu Membaca:
40 jemaah Indonesia dihalang dari lakukan perjalanan ke Makkah

Gambar fail Masjidil Haram. (Gambar: REUTERS/Ahmed Jadallah/File Photo)

Diterbitkan : 11 Aug 2017 11:40AM Dikemas Kini : 11 Aug 2017 11:44AM

TUBAN: Pejabat imigresen Indonesia pada Khamis (10 Ogos) menyatakan pihaknya menghalang keberangkatan haram 40 jemaah ke Makkah, lapor Agensi Anadolu (AA) di Turki.

Encik Ramli, ketua divisyen imigresen bagi Kementerian Undang-Undang dan Hak Kemanusiaan di Sulawesi Selatan, memberitahu AA bahawa para jemaah dihalang di lapangan terbang di ibu kota wilayah Makassar.

Mereka sedang cuba meninggalkan negara untuk ke Arab Saudi dengan melakukan perjalanan melalui Singapura dan Sri Lanka, dedah Encik Ramli.

"Mereka mahu menunaikan haji dengan menggunakan prosedur haram," katanya. Tahun ini musim haji bermula dari 30 Ogos hingga 4 September.

Apabila disoal siasat oleh para pegawai imigresen, sebilangan daripada mereka berkata bahawa mereka mahu menunaikan haji, meskipun hanya memiliki visa pelancong.

Pihak berkuasa sedang menyiasat kes tersebut dan sudah menghantar pulang para jemaah berkenaan.

Kesemua jemaah itu berasal dari wilayah Sulawesi Selatan, di mana para penduduknya harus menunggu sehingga 29 tahun untuk menunaikan haji jika mereka berdaftar dengan pemerintah.

Kuota bagi haji tahunan ditentukan oleh pemerintah Arab Saudi berdasarkan jumlah penduduk Islam di setiap negara. Bagi setiap satu juta orang Islam, 1,000 daripada mereka boleh menunaikan ibadah haji.

Sebagai penerima kuota terbesar haji, Indonesia - yang mempunyai sekitar 256 juta penduduk - menghantar kira-kira 200,000 jemaah ke Makkah dan Madinah setiap tahun.

Encik Abdul Djamil, selaku ketua pengarah haji dan umrah di Kementerian Ehwal Agama, memberitahu AA bahawa senarai menunggu di Indonesia sangat panjang memandangkan ramai penduduk ingin menunaikan ibadah tersebut.

Ini lebih-lebih lagi pada tahun 2013, kuota bagi jemaah haji Indonesia dan beberapa negara lain dikurangkan sebanyak 20 peratus disebabkan kerja-kerja binaan yang sedang dijalankan di Masjidil Haram di Makkah.

Buat masa ini, lebih dua juta warga Indonesia masih berada dalam senarai menunggu, yang sekaligus mendorong sesetengah daripada mereka untuk mencari cara alternatif.

Pada bulan Ogos lalu, seramai 177 warga Indonesia dihalang dari menaiki penerbangan awal pagi ke Arab Saudi selepas pasport haji dari Filipina dirampas daripada mereka.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan