Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

37 maut dalam nahas 2 kereta api di Mesir

Sekurang-kurangnya 37 orang maut selepas dua kereta api bertembung pada Jumaat (11 Ogos) di luar bandar Iskandariah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Aug 2017 12:40PM Dikemas Kini : 12 Aug 2017 09:50PM

ISKANDARIAH: Sekurang-kurangnya 37 orang maut selepas dua kereta api bertembung pada Jumaat (11 Ogos) di luar bandar Iskandariah.

Insiden tersebut juga adalah nahas yang paling dahsyat dalam siri kemalangan seumpama itu di Mesir, menurut kementerian kesihatan.

Kemalangan tersebut juga menyebabkan 123 orang cedera, dedah kementerian itu dalam kenyataannya.

Rakaman dari penyiar negara itu turut menunjukkan sebuah kereta api hampir terbalik dalam nahas itu dan pasukan paramedik dilihat mengalihkan mereka yang maut dan cedera ke dalam ambulans.

Para pegawai kementerian pengangkutan, seperti dipetik televisyen negara itu, mengatakan nahas tersebut mungkin disebabkan kerosakan pada salah sebuah kereta api yang kemudian menyebabkannya terhenti di landasan.

Kereta api lain kemudian merempuhnya.

Salah sebuah kereta api itu sedang melakukan perjalanan dari Kaherah ke Iskandariah dan sebuah lagi dari bandar Port Said ke Iskandariah.

Kementerian kesihatan tersebut menyatakan sebanyak 75 ambulans dikerahkan bagi memberi rawatan kepada para mangsa dan semua hospital di Iskandariah sudahpun diletakkan pada tahap berjaga-jaga peringkat tertinggi.

Nahas tersebut juga adalah kemalangan kereta api yang paling berdarah di negara Afrika Utara itu sejak sebuah kereta api merempuh bas yang membawa kanak-kanak sekolah pada November 2012, sekaligus menyebabkan 47 orang maut.

Kemalangan berkenaan juga menyebabkan pihak pemerintah untuk melancarkan siasatan serta memecat menteri pengangkutan dan ketua penguasa kereta api negara itu.

Pengendali isyarat kereta api, yang tertidur semasa bertugas, juga dipersalahkan selepas berlakunya nahas tersebut. 

Sumber : AFP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan