Images
  • malaysia explorer
    Pasukan penjelajah Malaysia yang melakukan penjelajahan ke Kutub Utara. (Gambar: Instagram/ Muqharabbin Mokhtarrudin)

3 anak Melayu berjaya tamatkan misi jelajah ke Kutub Utara

KUALA LUMPUR: Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, 35 tahun, Shahrom Abdullah, 38 tahun, dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37 tahun, berjaya menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Utara dalam misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017.

Ketua Penjelajah, Muqharabbin Mokhtarrudin, Shahrom dan Irwan Yusoff menamatkan misi tersebut pada 5.06 petang semalam waktu Kutub Utara atau 11.06 malam tadi waktu Malaysia.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak juga merakamkan ucapan tahniah kepada tiga penjelajah itu.

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan tiga penjelajah kita ke Kutub Utara telah selamat menyempurnakan misi mereka. Tahniah!" kata perdana menteri dalam catatan di laman Twitternya hari ini (21 Apr).

Berdasarkan perancangan, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 melibatkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji sejauh 111 kilometer yang memakan masa 11 hari bermula dari Stesen Barneo ke titik 90 darjah Kutub Utara.

Bagaimanapun, ketiga-tiga penjelajah Malaysia itu menamatkan misi mereka dalam tempoh enam hari sahaja.

Kumpulan penjelajah negara itu berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April lalu sebelum berpangkalan di Longyearbyen, Svalbard, Norway selama seminggu bersama pasukan sokongan diketuai Penasihat KE7B Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof dan turut disertai beberapa wakil media dari TV3 dan NSTP.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu merupakan aktiviti ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Tujuh Puncak Tujuh Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi KE7B Merentas Greenland 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016. 

- BERNAMA/ru

Komen Anda?

Top