Images
  • california
    (Gambar: JOSH EDELSON / AFP)

21 maut dalam kebakaran dahsyat California

SANTA ROSA: Lebih 200 kereta bomba dan ahli bomba dari beberapa negeri berhampiran California dikerahkan, semalam (11 Oktober) untuk membantu memadamkan kebakaran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang.

Ribuan lain penduduk kehilangan tempat tinggal.

"Ia adalah satu bencana besar yang serius dan kritikal," kata ketua bomba California, Ken Pimlott kepada para wartawan.

"kami akan berada di sini untuk satu jangka masa yang lama,"tambahnya.

Menurut Encik Pimlott, tiupan angin dan keadaan cuaca panas menyukarkan usaha mengawal kebakaran daripada merebak.

Beliau berkata angka korban antara kebakaran paling dahsyat di California itu kini meningkat kepada 21 orang dan dijangka meningkat.

11 kematian dilaporkan di Sonoma County, kawasan paling teruk terjejas manakala enam lagi Mendocino County.

Dua kematian pula dilaporkan masing-masing di Napa County dan Yuba.

Seluruh kejiranan Santa Rosa, sebuah bandar yang mempunyai 175,000 penduduk, hangus dijilat api.

Menurut para pegawai, ribuan orang kehilangan tempat tinggal dengan 25,000 dipindahkan dari Sonoma.

Lebih 3,500 rumah dan tempat-tempat perniagaan musnah, termasuk beberapa tempat yang menghasilkan wain di Sonoma dan Napa.

Kebakaran hutan lumrah terjadi di wilayah barat Amerika Syarikat ketika musim kemarau namun, dengan 21 kematian sejauh ini, kebakaran di California ini antara yang paling dahsyat.

Sebelum ini, kebakaran di Taman Griffith Los Angeles pada 1933 meragut nyawa sekurang-kurangnya 29 orang, manakala 21 maut dalam kebakaran di Oakland Hills pada 1991.
 

- CNA/HS/sm

Komen Anda?

Top