Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 peniaga Bangla di M'sia antara 4 ditangkap selepas disyaki terlibat dalam sel ISIS baru Filipina

Empat orang, termasuk tiga warga asing, ditangkap selepas disyaki terlibat dalam satu sel ISIS baru yang berpangkalan di Filipina, menurut polis Malaysia pada Isnin (23 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
2 peniaga Bangla di M'sia antara 4 ditangkap selepas disyaki terlibat dalam sel ISIS baru Filipina

Salah seorang daripada empat suspek yang disyaki terlibat dalam satu sel baru ISIS. (Gambar: Polis Diraja Malaysia, Jabatan Khas divisyen E8)

Diterbitkan : 24 Jan 2017 01:14AM Dikemas Kini : 24 Jan 2017 01:31AM

KUALA LUMPUR: Empat orang, termasuk tiga warga asing, ditangkap selepas disyaki terlibat dalam satu sel baru ISIS yang berpangkalan di Filipina, menurut polis Malaysia pada Isnin (23 Jan).

Suspek-suspek itu adalah seorang lelaki Filipina berusia 31 tahun, dua lelaki warga Bangladesh berusia 27 dan 28 tahun, dan seorang wanita Malaysia berusia 27 tahun.

Mereka diberkas di Sabah dan Kuala Lumpur antara 13 Januari dan 19 Januari.

Suspek-suspek berkenaan didakwa terlibat dalam satu sel pengganas baru ISIS yang merancang untuk menjadikan Sabah sebagai tempat singgah bagi para pengganas dari Timur Tengah dan Asia Selatan untuk diseludup masuk ke Mindanao di Filipina, menurut polis.

Sel tersebut dibangunkan daripada satu sel yang diterajui oleh bekas pensyarah Universiti Malaya Dr Mahmud Ahmad, yang turut bergabung dengan kumpulan Abu Sayyaf itu di bawah pimpinan Isnilon Hapilon.

Suspek Filipina itu dipercayai menganggotai sel tersebut. Dia bekerja sebagai seorang penjual jam di Kota Kinabalu, Sabah sebelum ditangkap pada 13 Januari.

(Gambar: Polis Diraja Malaysia, divisyen Jabatan Khas E8)

Dia turut didakwa mengambil anggota baru ISIS dari Malaysia, Indonesia dan Bangladesh termasuk etnik Rohingya, dan mengatur untuk menyeludup mereka masuk ke Marawi City di selatan pulau Filipina di Mindanao.

Dia juga mengambil tiga lagi suspek sebagai anggota, termasuk seorang wanita Malaysia yang tidak bekerja, yang mengaku kepada polis bahawa dia merancang untuk berkahwin dengan lelaki tersebut.

Wanita itu, yang berasal dari Selangor, diambil sebagai anggota pada Januari melalui media sosial. Dia menaiki pesawat ke Kota Kinabalu untuk bertemu dengan lelaki itu, dan kedua-dua mereka merancang untuk menyeludup masuk ke selatan Filipina melalui Sandakan di Sabah.

(Gambar: Polis Diraja Malaysia, divisyen Jabatan Khas E8)

Kedua-dua suspek dari Bangladesh diberkas di Kuala Lumpur pada 19 Januari. Mereka turut bekerja sebagai para peniaga.

Kedua-duanya dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan ISIS di Bangladesh dan merancang untuk pergi ke selatan Filipina.

(Gambar: Polis Diraja Malaysia, divisyen Jabatan Khas E8)

(Gambar-gambar: Polis Diraja Malaysia, Jabatan Khas divisyen E8)

Polis Malaysia mendedahkan bahawa dengan penangkapan itu, Jabatan Khas – juga jabatan perisiknya - sudah berjaya "melemahkan" sel pengganas baru itu.

Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan