Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

19 maut, 50 cedera dalam 'insiden pengganas' di konsert Ariana Grande di Manchester Arena

19 orang disahkan maut, dengan sekitar 50 lain cedera akibat letupan yang berlaku di konsert Ariana Grande, yang berlangsung di Manchester Arena, Britain.

Anggaran Waktu Membaca:
19 maut, 50 cedera dalam 'insiden pengganas' di konsert Ariana Grande di Manchester Arena

Pihak berkuasa di luar Manchester Arena selepas letupan dilaporkan berlaku. (Gambar: @hannawwh/Twitter)

Diterbitkan : 23 May 2017 11:13AM Dikemas Kini : 23 May 2017 11:19AM

LONDON: Seramai 19 orang disahkan maut, dengan sekitar 50 yang lain cedera akibat letupan yang berlaku di konsert Ariana Grande, yang berlangsung di Manchester Arena, pada Isnin (22 Mei).

Kenyataan terbaru dari polis Britain menyatakan bahawa kejadian itu dianggap sebagai satu "insiden pengganas sehingga polis dapat mengesahkan sebaliknya".

Menurut polis, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu sejurus sebelum 10.35 malam, (waktu tempatan).

Laporan-laporan menyatakan bahawa beberapa remaja perempuan adalah di kalangan mereka yang terbunuh tetapi ia belum lagi disahkan oleh pihak berkuasa.

Tanda-tanda awal menunjukkan pengebom nekad mungkin mendalangi letupan itu, menurut dua pegawai Amerika Syarikat kepada Reuters tanpa mendedahkan identiti mereka.

Beberapa agensi berita pula melaporkan bahawa terdapat dua letupan yang berlaku di lokasi konsert berkenaan.

Seorang saksi yang berada di tempat kejadian berkata beliau dapat merasakan gegaran daripada letupan kuat itu semasa meninggalkan lokasi konsert.

Para saksi memberitahu BBC bahawa terdapat mereka yang "terjatuh akibat rempuhan" sedang mereka lari menuju pintu keluar arena itu.

Manchester Arena adalah arena tertutup terbesar di Eropah dan ia dibuka pada tahun 1995 dan berupaya menampung 21,000 penonton.

Khidmat kereta api ulang alik dari Stesen Manchester Victoria yang terletak di bawah Arena tersebut juga sudah dibatalkan.

Britain diletakkan di bawah tahap berjaga-jaga kedua tertinggi yang bermakna besar kemungkinan berlakunya serangan militan. 

Sumber : CNA/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan