Images
  • car sticker
    Gambar fail pelekat Uber dan Grab. (Gambar: Reuters, Grab)

153 pemandu Uber, Grab M'sia didapati menipu sejak tahun lalu

KOTA BARU: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mendedahkan pada Ahad (12 Nov) pihaknya mengambil tindakan terhadap 153 pemandu Uber dan Grab kerana menipu pelanggan mereka.

Menurut New Straits Times (NST), tindakan diambil sejak Oktober 2016 bagi kesalahan dari mengenakan tambang lebih mahal terhadap para pelanggan hingga ke memandu lebih jauh daripada destinasi pelanggan dengan sengaja untuk mengenakan tambang lebih tinggi.

"Kami menerima beberapa aduan mengenai pemandu yang menipu para penumpang mereka (dengan cara yang dijelaskan).

"Tindakan seumpama ini oleh (sebilangan) pemandu merosakkan imej semua pemandu Uber dan Grab," dedah ketua divisyen penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad kepada para wartawan selepas menyelia 'Ops Serkap' di Terminal Bas Lembah Sireh pada Sabtu malam.

Beliau, seperti dipetik NST, menggesa pemandu Uber dan Grab supaya memanfaatkan peluang yang diberikan kepada mereka oleh kerajaan untuk mewujudkan keyakinan dalam kalangan pengguna dan tidak menipu untuk kepentingan peribadi.

"Mereka boleh menggunakan peluang ini untuk menambah pendapatan, tetapi mereka mesti memastikan bahawa mereka memberikan khidmat terbaik dan sentiasa jujur dalam kerja mereka," menurut Encik Che Hasni kepada NST.

Sembilan pegawai juga menyertai Ops Serkap dua hari bagi memastikan semua pemandu bas mematuhi peraturan.

- Agensi berita/IM/im

Komen Anda?

Top