Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

100 mangsa banjir di Kelantan kelaparan, terperangkap

Kira-kira 100 mangsa yang menjadikan sebuah sekolah di Kuala Krai sebagai pusat perlindungan sementara, terpaksa berlapar dan bergelap tanpa sebarang bantuan sejak lebih 40 jam lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
100 mangsa banjir di Kelantan kelaparan, terperangkap

Penduduk Kelantan menaiki bot untuk merentasi kawasan banjir di Pengkalan Chepa, berdekatan Kota Bharu, Malaysia. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Dec 2014 06:58PM Dikemas Kini : 26 Dec 2014 10:03PM

KUALA LUMPUR: Ketika pelbagai pihak sibuk menghulurkan sumbangan membantu mangsa banjir di Kelantan, kira-kira 100 mangsa yang menjadikan sebuah sekolah di Kuala Krai sebagai pusat perlindungan sementara, terpaksa berlapar dan bergelap tanpa sebarang bantuan selama lebih 40 jam.

Seorang mangsa banjir di Kuala Krai, Dr Azilah Mohd Ali berkata sehingga kini tidak diketahui nasib mangsa yang berlindung di bangunan Asrama Lelaki Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra (SYP) 1 itu.

"Saya mendapat tahu mangsa yang berada di tingkat tiga dan empat asrama SYP 1 itu tidak menerima sebarang bantuan atau makanan sejak berpindah awal pagi Rabu lepas," kata Pakar Pergigian Kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, itu.

Menurut beliau sembilan anggota keluarganya termasuk dua adik, dua adik ipar dan lima anak saudara yang berusia antara tujuh dan 27 tahun terperangkap dalam bangunan sekolah berkenaan sejak tiga hari lepas.

Dr Azilah, yang sedang bercuti dan pulang ke Kelantan, kini berlindung di rumah anggota keluarga terdekat di Taman Krai Sentral yang bagaikan sebuah pulau setelah dikelilingi air banjir. 

"Hubungan kami terputus disebabkan bateri telefon semakin lemah dan saya pula perlu menguruskan orang tua yang uzur," kata beliau, yang berpindah pada 4.00 pagi ketika air naik secara mendadak di Jajahan Kuala Krai, Rabu lepas.

"Masalah besar kini adalah sumber air mentah untuk makan dan minum telah kehabisan dan kami terpaksa mengharapkan kepada air hujan semata-mata," tambahnya lagi.

Seorang anak kecil bermain dengan air banjir berdekatan sebuah stesen gas di Pengkalan Chepa, berdekatan Kota Bharu. (Gambar: AFP)

Sementara itu, seorang penjawat awam yang berasal dari Kuala Krai, Soon Li Wei, 26, berkata sudah tiga hari beliau tidak dapat berhubung dengan keluarganya yang menetap di Taman Guchil Jaya dan Kampung Guchil 4.

"Saya cuba menghubungi mereka beberapa kali sebelum ini tetapi tidak dapat. Sehingga kini saya langsung tidak tahu bagaimana keadaan mereka. Paling dibimbangi, nenek saya Chan Cho Chu, 80, tinggal bersendirian di rumahnya dan saya dimaklumkan rakan sekampung, rumah nenek dinaiki air sehingga paras pinggang.

"Nenek tidak ada pengalaman melalui banjir jadi saya amat risaukannya, manakala ibu bapa dan adik saya juga terputus hubungan apabila jalan di sekeliling termasuk untuk ke rumah nenek turut dinaiki air dan ditutup... kemungkinan ibu bapa saya juga sudah berpindah ke pusat pemindahan," katanya.

Seorang mahasiswa kolej swasta di Petaling Jaya, Kua Chee Hoe, 23, pula berkata beliau mendapat berita tentang kejadian banjir yang melanda rumahnya di Jalan Ah Sang, Kuala Krai melalui gambar yang tersebar di laman sosial Facebook.

"Saya cuba menghubungi keluarga saya tetapi tak dapat... apabila mendapat tahu air sudah mula naik ke tingkat dua rumah, saya segera meminta bantuan rakan-rakan melalui Facebook untuk membantu keluarga saya yang terperangkap.

"Syukur kerana tidak lama kemudian Pemuda MCA bahagian Kuala Krai membantu anggota keluarga saya keluar dari kawasan banjir dengan bot kecil mereka," katanya kepada agensi berita Bernama.

Sehingga 5.00 petang tadi, sekitar 120,000 mangsa banjir di tujuh negeri - Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Kedah dan Perlis - terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan