Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

1 maut, 19 cedera dalam bantahan di Amerika

Sebaliknya Peguam Negara Jeff Session mengutuk keganasan itu sambil memberi amaran sebarang tindakan menggalak permusuhan tidak akan dibiarkan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Aug 2017 08:42PM Dikemas Kini : 13 Aug 2017 09:27PM

VIRGINIA: Biro Siasatan Federal Amerika Syarikat sedang menyiasat kematian seorang wanita akibat dirempuh sebuah kereta semasa satu bantahan di Charlottesville, Virginia.

Bantahan yang dilancarkan oleh golongan nasionalis kulit putih itu bertukar ganas apabila pertempuran meletus dengan pihak penentang.

Gabenor Virginia mengisytiharkan keadaan darurat dan perintah berkurung.

Satu video amatur menunjukkan sebuah kereta merempuh sekumpulan penunjuk perasaan, membunuh seorang wanita.

Perarakan "Unite the Right" itu diadakan bagi membantah rancangan untuk mengeluarkan patung seorang Jeneral yang menyokong perhambaan semasa perang saudara di Amerika.

Pertempuran kemudian meletus antara kumpulan nasionalis kulit putih itu dengan golongan penentang.

19 orang cedera dalam rusuhan itu.

Bantahan berkenaan disifatkan sebagai perhimpunan terbesar kumpulan aktivis kulit putih di Amerika dalam masa sedekad.

Gabenor Virginia Terry Mcauliffe berkata: "Saya ada pesanan untuk semua golongan nasionalis kulit putih dan Nazi yang datang ke Charlottesville hari ini. Mesej kami terang dan mudah - Baliklah. Anda tidak dialu-alukan di sini. Anda patut rasa malu."

Polis menahan suspek yang memandu kereta berkenaan.

James Alex Fields Junior, 20 tahun, didakwa dengan tuduhan menyebabkan kematian.

Menyusuli kejadian itu, Presiden Trump, dalam catatan Twitter, menggesa rakyat Amerika supaya bersatu menentang keganasan.

Beliau menyalahkan "semua pihak" mencetuskan keganasan itu.

Bagaimanapun Encik Trump dibidas ahli-ahli politik baik dari golongan Democrat mahupun Republican, kerana tidak langsung menyebut golongan nasionalis kulit putih sebagai pencetus rusuhan.

Sebaliknya Peguam Negara Jeff Session mengutuk keganasan itu sambil memberi amaran sebarang tindakan menggalak permusuhan tidak akan dibiarkan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/MM/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan