Images
  • foreign worker
    Gambar fail para pekerja asing di Arab Saudi. (Gambar: AFP)

1 juta warga asing dijangka tinggalkan Arab Saudi di bawah pelan pengampunan

RIYADH: Dengan sekitar 70 hari lagi sebelum berakhirnya kempen pengampunan yang menyasarkan pekerja dan penduduk yang tinggal secara haram di Arab Saudi, hasilnya sejauh ini menunjukkan "tanda-tanda positif". Demikian menurut para pegawai Direktorat Am Pasport dan Kementerian Pembangunan Buruh dan Masyarakat Arab Saudi.

Kempen itu bagi membantu mereka meninggalkan Saudi tanpa dikenakan denda atau hukuman kerana melanggar undang-undang, menurut laporan Arab News.

Para pekerja asing juga dikecualikan daripada keperluan mengambil cap jari, lantas membenarkan mereka kembali ke Saudi secara sah pada tarikh yang akan ditetapkan.

19 entiti kerajaan menyertai kempen "Negara Tanpa Pesalah", yang berharap dapat membantu sekurang-kurangnya 1 juta pesalah meninggalkan negara itu dalam tempoh tiga bulan.

Kempen berkenaan, yang asalnya dilancarkan empat tahun lalu, juga memudahkan keberangkatan lebih 5.5 juta pekerja asing yang tinggal secara haram.

Direktorat Am Pasport menyatakan ia sudah mendampingi pendatang haram melalui akaun Twitternya dalam bahasa Urdu, Inggeris, Indonesia, Arab dan juga bahasa-bahasa lain bagi memaklumkan mereka dalam tweet harian mengenai bagaimana para peker asing itu boleh memanfaatkan kempen yang dilancarkan pada 29 Mac lalu.

Kempen itu membuat ramai pesalah berada di lokasi jabatan Pasport. Hampir 80 lokasi menerima para pekerja asing di merata 13 wilayah setiap hari.

Laporan Arab News menambah jurucakap Kementerian Dalam Negeri Mejar Jeneral Mansoor Al-Turki berkata pelbagai agensi kerajaan bekerjasama bagi memastikan kejayaan kempen itu melalui pemeriksaan bersama dengan agensi-agensi keselamatan.

Putera Mahkota Mohammed bin Naif menggesa para pesalah untuk "memanfaatkan peluang semasa tempoh yang ditetapkan, dan untuk semua bekerjasama dalam mencapai matlamat-matlamat kempen berkenaan".

Beliau juga mengarahkan "pihak yang terlibat untuk memudahkan keberangkatan para pesalah semasa tempoh itu dan tidak menjatuhkan hukuman kepada mereka". 

- Agensi berita/ru

Komen Anda?

Top
>