Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

1 juta juadah berbuka ditaja untuk pekerja asing Muslim & bukan Muslim

Mulai Rabu ini (31 Mei) sebanyak satu juta juadah berbuka puasa akan disediakan sepanjang bulan Ramadan ini oleh Yayasan Antarabangsa Raja Abdullah bagi Khidmat Kemanusiaan.

Anggaran Waktu Membaca:
1 juta juadah berbuka ditaja untuk pekerja asing Muslim & bukan Muslim

Gambar hiasan umat Islam Saudi berbuka puasa. (Gambar: AFP/AMER HILABI)

Diterbitkan : 28 May 2017 11:17PM Dikemas Kini : 29 May 2017 12:48AM

JEDDAH: Mulai Rabu ini (31 Mei) sebanyak satu juta juadah berbuka puasa akan disediakan sepanjang bulan Ramadan ini oleh Yayasan Antarabangsa Raja Abdullah bagi Khidmat Kemanusiaan.

Setiap hari pada waktu matahari terbenam ribuan pekerja asing, baik yang Muslim mahupun yang bukan Muslim tanpa mengira kerakyatan, akan berhimpun di Riyadh untuk berbuka puasa.

Projek tersebut meliputi 91 tapak kerja di Riyadh, yang menempatkan lebih 1,000 kilang dan kira-kira 150,000 pekerja, menurut laporan Saudi Gazette.

CEO yayasan tersebut, Putera Turki Bin Abdullah melancarkan projek katering Ramadan itu dan menganggapnya sebagai projek terbesar di rantau Timur Tengah.

Semasa pelancarannya, Pengerusi dan Pengasas Bersama pertubuhan bukan untuk keuntungan itu, Sheikh Waleed Al-Marzuki berkata beliau berbesar hati kerana projek tersebut dilancarkan oleh mantan gabenor dan putera Riyadh, lapor Saudi Gazette.

"Sekitar 20 tahun lalu, kami di ICCC hanya dapat menyediakan makanan untuk 500 orang sehari, 15,000 sebulan. Sekarang, saya gembira beliau menghargai rancangan pasukan kami untuk memperluas (projek) dan mempelawa sekitar sejuta pekerja sebulan."

Beliau menambah keamanan, penerimaan dan layanan baik "adalah mesej penting yang dipegang umat Islam".

"Kita sebagai manusia belajar daripada pengalaman berpuasa makan dan minum untuk bersimpati dengan orang lain dan menyayangi jiran tetangga sepertimana kita menyayangi diri sendiri," kata beliau.

Menurut Sheikh Al-Marzuki lagi, berpuasa mendidik kita untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat memerlukan dan warga asing yang datang ke negara itu untuk bekerja keras menyara hidup.

"Kami adalah pertubuhan bukan untuk keuntungan dan kami melakukan semua ini seperti yang dituntut oleh agama. Pusat kami berkhidmat kepada kilang-kilang dan pemilik perniagaan serta pekerja dengan mengajar mereka bahasa Arab dan budaya agama Islam supaya mereka memahaminya dan berasa seperti berada di negara sendiri," ujar beliau.

Pertubuhan itu juga berpendapat, usaha mereka itu adalah mesej sebenar Islam dan ia perlu ditunjukkan kepada dunia, menurut Saudi Gazette.

"Kami tidak pernah melihat media melaporkan tentang usaha ini sejak 20 tahun lalu. Malangnya, apa yang kami sering lihat adalah gambaran agama kita yang sengaja dirosakkan, tambah Sheikh Al-Marzuki.

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan